Sabtu, 26 Jun 2010

Hujan lebat sebabkan banjir di Singapura

THE MALAYSIAN INSIDER


SINGAPURA – Hujan lebat selama sejam mulai pukul 8 pagi ini menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar ini dilanda banjir.

Keadaan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila beberapa jalan ditenggelami air dan berlaku kejadian pokok tumbang yang menghalang lalu lintas ke kawasan bandar.

Lalu lintas sepanjang jalan Bukit Timah ke arah bandar tidak bergerak untuk beberapa jam apabila ia ditenggelami air, manakala trafik di tempat lain dilencongkan.

Kawasan lain yang turut terlibat dengan banjir dan pokok tumbang ialah Upper Thomson Road, Ang Mo Kio Avenue, Jalan Boon Lay dan sebahagian Orchard Road.

Agensi air Singapura, PUB mencatat jumlah hujan yang turun antara pukul 8 hingga 9 pagi ini ialah 100 mm.

Pada 16 Jun, jumlah hujan yang sama menyebabkan banjir di Orchard Road yang merupakan kawasan tumpuan pelancong menyebabkan kerosakan teruk kepada harta benda dan kenderaan serta menjejaskan perniagaan di sana.

Banjir pagi ini surut dalam tempoh satu jam selepas hujan lebat berhenti pada pukul 9 pagi.

Tiada ulasan: