Khamis, 24 Jun 2010

Hishammuddin: 48,823 lesen senapang dikeluarkan sehingga April


Hisyam Dewan Rakyat Hari Ini


KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sehingga April lepas sebanyak 48,823 lesen senapang patah telah dikeluarkan.

Beliau berkata daripada jumlah itu 68.7 peratus atau 33,545 lesen diberikan kepada kaum Melayu diikuti Cina 10,972 (22.5 peratus), India 614 (1.3 peratus) dan 3,682 atau 7.5 peratus lain-lain bangsa dan suku kaum Bumiputra.

"Jumlah itu bagaimanapun akan berubah dari semasa ke semasa apabila berlakunya pembatalan lesen atau penambahan lesen baru yang dibuat," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin tahu bilangan sijil kelayakan mengguna senjata api tahun 2005 sehingga 2009 mengikut negeri dan jenis bangsa dan jumlah pemilik senapang di seluruh negara sehingga April tahun ini.

Hishammuddin berkata kementerian juga akan sentiasa memantau semua lesen bagi memastikan senjata api hanya dimiliki individu yang benar-benar memerlukan dan berkelayakan.

Tiada ulasan: