Isnin, 21 Jun 2010

HERBERT LETAK ‘RACUN’ DALAM GELAS UMNO?

SABAH KINI


CADANGAN pembinaan empangan di Sungai Kadamaian di Kampung Tambatuan, Kota Belud dan pemecatan 36 Orang Ketua Kampung oleh Adun Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan bagaikan meletakkan ‘racun persengketaan’ ke dalam gelas UMNO dan melucutkan statusnya sebagai ‘Pastor’.

TRAKTOR.... Kanak-kanak ini menyerahkan replika 'traktor' ini kepada Jeffrey sebagai simbolik menyerahkan kebimbangan mereka kerana diwar-warkan traktor akan dihantar oleh pemaju dalam bulan julai untuk memusnahkan kampung mereka bagi membolehkan pembinaan empangan berkenaan dilaksanakan segera; berlatar belakangkan Sungai Kadamaian yang bakal musnah.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menyifatkan demikian dalam pertemuan khas dengan Krew Sabahkini.net selepas ‘Majlis Khas Bersama Rakyat’ di Kampung Tambatuan yang dihadiri oleh lebih 100 penduduk kampung yang terlibat dengan kawasan cadangan pembinaan empangan serbaguna.

“Kerja kita untuk menawan Parlimen Kota Belud dan tiga buah DUN lebih mudah dengan insiden yang memilukan ini dan kita yakin akan mampu merubah keadaan pada pilihanraya umum akan datang,” ujar Jeffrey yang menyifatkan pemecatan 36 penyokong kuat BN dan cadangan pembinaan empangan sebagai satu rahmat kepada PKR.

Kata Jeffrey, Herbert telah merintis jalan kepada PKR untuk membina tugu sokongan di Parlimen Kota Belud dan Kampung Tambatuan menjadi batu asas dan mercu tanda kebangkitan rakyat menentang kezaliman BN yang bertindak di luar batas peri kemanusiaan.

“Dalam hal ini, kita akan merumuskan beberapa formula bagi menyelesaikan isu yang melanda penduduk kampung yang terlibat dengan projek berkenaan dan ketua kampung yang telah dipecat agar terus dapat menyumbang bakti kepada masyarakat melalui wadah yang baru,” ujar Jeffrey yang agak terkilan dengan sikap ‘drakonian’ Herbert yang tidak langsung menghargai Ketua Kampung yang telah lama berjasa kepada negeri ini.

Ketika ditanya pandangannya berhubung kebimbangan penduduk kampung Tambatuan, Jeffrey menyifatkan ianya sebagai ‘trauma’ yang tidak akan menjadi kenyataan kerana Kerajaan BN tidak mampu melaksanakan projek berkenaan yang menelan belanja yang besar dalam keadaan BN yang semakin muflis.

“Pada hemat saya, ia masih di peringkat kajian kemungkinan dan tidak mungkin dilaksanakan dalam masa satu atau lima tahun akan datang. Lagipun ianya tidak termasuk dalam RMK10 kerana bukannya projek prioriti dan BN hanya mencari penyakit dengan melaksanakan cadangan projek yang tidak praktikal untuk menenggelamkan beberapa kampung terlibat. Banyak cara lain untuk mendapatkan air dan sumber tenaga,” ujar Jeffrey yang menggesa agar penduduk kampung banyak bersabar dan terus bersemangat mempertahankan kampung mereka dari sebarang pencerobohan.

Tindakan Herbert dan Kerajaan BN yang merencanakan projek berkenaan telah memberikan peluang kepada PKR untuk membantu rakyat yang selama ini merupakan penyokong tegar BN dan kubu kuat BN yang sukar ditembusi mana-mana parti pembangkang.

“Kita berterima kasih kepada Herbert kerana memberi peluang dan membuka pintu seluasnya kepada PKR untuk berkubu di sini atas kehendak rakyat. Semoga sejarah Tambunan 1985 mungkin akan berulang di sini,” ujar Jeffrey yang tersenyum bangga dengan sambutan rakyat Tambatuan.

Dalam pada itu, ketika berucap di hadapan penduduk kampung Tambatuan, Jeffrey menegaskan bahawa Kerajaan tidak boleh bertindak sesuka hati melaksanakan sesuatu projek mega tanpa kajian kesan alam sekitar dan berjanji PKR akan mampu menyelesaikan masalah tersebut jika diberi peluang memerintah Sabah.

“Kerajaan PKR dan Pakatan Rakyat akan sentiasa menjaga kepentingan rakyat dan rakyat berpeluang menghilangkan trauma ini sekiranya memilih PKR pada pilihanraya umum akan datang,” ujar Jeffrey yang menyifatkan insiden ini memberi peluang rakyat menilai semula perjuangan mereka dalam BN dan mempelawa mereka menyertai PKR secara beramai-ramai untuk meneruskan kesinambungan perjuangan mereka.

Jeffrey turut menerima salinan memorandum bantahan yang ditandatangani 193 orang penduduk kampung Tambatuan yang telah diserahkan kepada Herbert, Ahli Parlimen Kota Belud dan Ketua UMNO Kota Belud pada 30 Mei 2009.

Di Majlis yang sama, Jeffrey turut menerima memorandum ‘Kertas Kosong’ yang diserahkan oleh penduduk kampung yang terlibat dengan harapan akan dicorakkan oleh PKR mengikut formula yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

“Kita percaya kepada Datuk Jeffrey dan kerana itulah kita memberikan memorandum kertas kosong sebagai simbolik bahawa kita menyerahkan nasib dan masa hadapan kita kepada PKR setelah memorandum bertulis yang kita serahkan kepada BN tidak langsung dipedulikan,” ujar Singkui Tinggi, salah seorang Ketua Kampung yang dipecat Herbert.

15 ulasan:

jack berkata...

kesempatan ini diambil oleh pembangkang bagi meraih sokongan dan undi daripada penduduk pada PRU13 nanti..belum ada sebarang keputusan rasmi daripada pihak kerajaan berhubung dengan cadangan pembinaan empangan sg.Kadamaian kota belud..penduduk seharusnya tidak membuat keputusan secara terburu-buru yang akhirnya akan memakan diri..

Tanpa Nama berkata...

pandai pembangkang ni, ia mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan sokongan penduduk Kg. Tambatuan. penduduk Tambatuan jgn mudah terpengaruh dgn kata2 pembangkang ini.

Hamdan Hadillah berkata...

inilah cara pembangkang untuk mengambil kesempatan dalam kesulitan. mereka buat ini semua untuk menarik sokongan penduduk kepada mereka.
tapi jangan haraplah penduduk akan terpedaya dengan semua itu. Bn tetap akan menjadi pilihan pertama penduduk.

Sanih Alias berkata...

ini semau helah pembangkang untuk melemahkan kerajaan BN. tapi apa pun , BN jangan ambil endah tidak endah dengan hal ini. jangan tewas dengan rancangan PKR untuk membina kubu mereka. ini cara untuk mereka untuk meminta sokongan rakyat.

Sanih Alias berkata...

BN haruslah mengutamakan kepentingan rakyat dibawah jagaan nya. rakyat diutamakan kata PM kita. jd bertindak jangan terburuk2..oleh itu, berfikir sebelum bertindak..

Ted Medresher berkata...

kerajaan BN perlu lakukan sesuatu sebelum ianya terlambat.. tindakan Herbert ini benar2 telah memburukkan kerajaan..

Tanpa Nama berkata...

BN harus mengambil tindakan dan mengembalikan kepercayaan penduduk Kg. Tambatuan. pembangkang telah menggunakan kesempatan ini untuk meraih sokongan penduduk kg tersebut.

Ted Medresher berkata...

pembangkang hanya bergantung harap dengan kegagalan kerajaan dan menggunakan sebaik2 alasan itu bagi menunjukkan seolah2 mereka cukup sempurna untuk mentadbir Sabah. namun jika dilihat cara mereka mahu mengambil alih kerajaan, rakyat boleh mengandaikan bahawa mereka juga tidak cukup profesional kerana hanya bergantung dengan kelemahan pihak lain. pemimpin atasan perlu memandang serius isu ini dan mengambil tindakan yang sepatutnya untuk memulihkan keadaan.

tombolo berkata...

inilah sikap pembangkang, ia akan mencari kesilapan kerajaan untuk dijadikan alasan untuk memburukkan kerajaan, perkara yang kecil akan diperbesarkan, rakyat yang bijak perlu tahu menilai hal hal seperti ini dgn sebaiknya, jgn mudah terpengaruh dgn propaganda pembangkang.

Paquin berkata...

Kalau betul la si Herbert pecat ketua kampung, rasanya umnobn pasti dapat kecaman hebat. Jadi tidak hairan jugalah kalau pembakang mengambil peluang ni utk menunjukkan mereka adalah hero yg bakal menyelamatkan para penduduk. hhhmmm gimik drama betul oo.

Paquin berkata...

Betul tu jack. Saya harap para penduduk tidak mengikut emosi mereka semata-mata. Dalam masa yg sama saya harap wakil umnobn tampil jelaskan hal ni bg mengurangkan kekeliruan yg berlaku.

Paquin berkata...

Si Herbert ni pun nakal juga.. aduii kenapalah buat hal bah. Tengok marah sudah para pendudk, pembakang pula konpom lah ambil kesempatan dalam kesulitan yg berlaku.. dooo dogo si herbert ni mencemarkan nama baik umnobn saja oo..

Paquin berkata...

Betul supra. umnobn mmg perlu tampil segera. Jangan biarkan hal ni dimanfaatkan sepenuhnya oleh pembangkang k.

Paquin berkata...

Biasalah 2718, pembakang ba tu paling hebat mencari peluang, malah bijak memanipulasi keadaan tanpa memberi ruang penjelasan kepada pihak kerajaan. Tapi saya yakin para penduduk akan kembali mempercayai kerajaan juga nanti.wait & see ja la. hehhee

Paquin berkata...

Setuju urangulama, rakyat perlu lebih bijak membuat analisis dan jgn mudah terpengaruh - nanti tersilap langkah pula. hehhehee
Setiap perkara yg berlaku pasti ada sebabnya, so dengar dulu penjelasan dari pihak kerajaan sebelum beralih arah ya :)