Selasa, 22 Jun 2010

Hak asasi bergantung kepada pendekatan mahkamah


aOleh Jamilah Kamarudin


KUALA LUMPUR: Hak asasi manusia di Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan didapati terlalu banyak bergantung kepada pendekatan dan sikap yang diambil melalui keputusan undang-undang di mahkamah.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, berbanding dengan negara seperti Amerika Syarikat dan negara lain di Eropah, perlembagaan di Malaysia tidak menyediakan apa-apa peruntukan instrumen mengenai hak asasi.

"Salah satu punca mengapa ini berlaku ialah kerana perlembagaan itu sendiri tidak menyebut dengan jelas ruang lingkup peruntukan hak asasi yang sedia ada," katanya ketika membentangkan kertas kerja Seminar Agama dan Hak Asasi Manusia anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini hari ini.

Katanya, Malaysia begitu terikat dengan kedudukan perlembagaan yang menjadi undang-undang tertinggi sehingga mengatasi peruntukan hak dan undang-undang lain.

Mengambil contoh hak kebebasan Malaysia sebagai negara demokrasi, Abdul Aziz menegaskan, wujudnya beberapa pertindihan proses dalam doktrin pengasingan kuasa juga menyebabkan pengisytiharan mengenai hak asasi manusia termasuk hak kebebasan di negara ini tidak dapat dilaksanakan spenuhnya.

"Agak jelas bahawa perkembangan dan pelaksanaan hak asasi bergantung kepada sikap dan komitmen mahkamah.

"Ini kerana tidak mungkin untuk mengharapkan dewan perundangan (Dewan Rakyat) meminda peruntukan-peruntukan yang berkaitan bagi membuat penyesuaian.

"Selain lambat di sana mungkin ada hambatan prosedur yang tidak dapat diatasi mahupun dipenuhi," tegas beliau.

Bagaimanapun katanya, kewujudan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mampu memberi dimensi baru kepada wacana dan pelaksanaan hak asasi di Malaysia.

Ini kerana selain memberi pendidikan mengenai hak asasi, badan berkenaan juga diberi kuasa untuk membuat cadangan kepada kerajaan mengenai instrumen antarabangsa yang boleh diterima pakai di negara ini.

"Kewujudan pelbagao pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Suaram dan Sister In Islam (SIS) juga dilihat mampu memberi kesan kepada wacana mempertahankan falsafah hak asasi yang dominan secara global," katanya.

Tiada ulasan: