Selasa, 22 Jun 2010

Guan Eng persoal Khazanah urus dana tapak warisan.


Guan eng Oleh Fazy Sahir


KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Putrajaya menyerahkan dana bernilai RM20juta kepada Khazanah Nasional Berhad untuk membangunkan tapak warisan bersejarah di Pulau Pinang.

Lim menekankan isu tersebut ekoran kerajaan negeri Pulau Pinang tidak diberikan dana itu secara terus sedangkan Melaka diberikan RM30 juta untuk menguruskan tapak warisan.

"Kenapa beri dana kepada Khazanah untuk diuruskan? Ia merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan itu bukanlah kemahiran mereka untuk menguruskan dana tersebut.

"Ini jelas merupakan diskriminasi dan ia menghukum kerajaan negeri," kata beliau yang juga ahli Parlimen Bagan dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Menurut Lim, keenganan kerajaan untuk membenarkan Pulau Pinang mengakses dana sendiri kerana negeri itu diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) manakala Melaka dibawah Barisan Nasional (BN).

"Kerajaan tidak seharusnya berat sebelah mengenai hal ini. Ini berkaitan dengan warisan dan kita harus berbangga mengenainya. Kerajaan perlu memberi layanan yang adil apabila berhubung dengan hal warisan," katanya.

Tambah Lim, setakat ini Pulau Pinang membelanjakan RM3juta daripada RM20 juta peruntukan yang diberi Khazanah namun beliau tidak mendedahkan butir-butir lanjut mengenainya.

Dalam pada itu, perkara tersebut cuba ditekankan Lim ketika sesi soal jawab dalam dewan sebelum ini.

Namun pihak Kementerian Keewangan dalam jawapan balasnya mengatakan RM25juta peruntukan ditarik balik ke atas Pulau Pinang ekoran kerajaan membentuk pembangunan Khas tapak warisan bersejarah seperti yang dikehendaki oleh UNESCO.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim berkata RM20juta itu ditarik balik kepada Khazanah untuk membangunkan bangunan warisan di Pulau Pinang.

"Adakah pihak menteri akan memberi jaminan bahawa kami juga akan dapat dana itu secara terus seperti Melaka? Kami tidak mahu situasi di mana satu negara tetapi wujud dua sistem yang mengendalikan hal ini," tanya Lim.

Tiada ulasan: