Ahad, 6 Jun 2010

Formula baru GAS selepas 13 Jun – Mugilan

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR – Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) akan terus memperhebatkan usaha bagi mendapatkan 500,000 tandatangan bagi mendesak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu meletak jawatan dengan segera.

Penganjur GAS, V. Mugilan berkata, usaha ini sedang giat digerakkan di seluruh negara malah pihaknya akan menganjurkan perhimpunan kedua pada 13 Jun ini di Klang.

“Saya tidak mahu memberitahu mengenai tempoh masa yang akan diambil bagi mendapatkan tandatangan itu, tetapi saya yakin ia boleh dicapai secepat mungkin.

“Selepas mendapatkan tandatangan itu, kami akan memberikannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tindakan selanjutnya,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Pada 30 Mei lalu, Mugilan yang menganjurkan perhimpunan GAS memberitahu bahawa beliau akan memulakan formula baru iaitu mendapatkan 500,000 tandatangan ahli MIC di seluruh negara bagi menggesa Samy Vellu meletak jawatan segera.

Dalam perkembangan lain, Mugilan berkata, perhimpunan kedua GAS yang akan diadakan minggu depan di Klang, mampu menarik lebih ramai penyokong bagi menjayakan motif pergerakan itu.

“Saya tidak akan memberitahu jumlah yang mungkin menyertai kami. Ini kerana, saya tidak mahu insiden sabotaj berlaku sekali lagi.

“Kami masih mendapat maklum balas yang positif dari masyarakat India di seluruh negara. Kami mampu menjayakan perhimpunan kedua itu seperti perhimpunan pertama yang dilakukan bulan lalu,’’ katanya.

Tiada ulasan: