Selasa, 8 Jun 2010

Felda kuasai ternakan lembu di Asia Tenggara

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Selepas berjaya menguasai perniagaan gula, Felda Global Ventures Sdn. Bhd. (Felda Global) melalui syarikat Felda IffcoAllana Malaysia Sdn. Bhd. (FIAM) melangkah lebih jauh dengan meneroka perniagaan baru iaitu projek ternakan lembu bersepadu di negara ini.

Felda menyasarkan projek ternakan itu merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dan menyumbang faedah kepada keseluruhan masyarakat.

Kos pelaburan bagi projek tersebut adalah sebanyak RM688 juta dan ia akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini.

Pengerusi Felda Holdings Bhd., Tan Sri Yusof Noor berkata, projek ternakan tersebut akan dijalankan di ladang milik Felda seluas 850,000 hektar.

Katanya, projek berkenaan dijangka menyumbang bekalan daging tempatan dan pengeluaran susu yang masih tidak mencukupi di negara ini pada waktu ini.

Menurut beliau, kini pengeluaran daging lembu tempatan hanya 25 peratus manakala pengeluaran susu hanya lima peratus daripada permintaan.

''Projek ini juga akan memberi manfaat kepada komuniti Felda sendiri dan para pemegang saham lain turut dijemput menyertai projek berkenaan dalam beberapa aspek projek yang dianggap relevan,'' katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara Felda Iffco Sdn. Bhd. (Felda Iffco), FIAM, Felda Global dan Middle East Oils Grains Ltd. (MEOG) di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Australia Agricultural Company (AACo) yang berpangkalan di Australia menguasai 19.9 peratus kepentingan dalam Felda Iffco Sdn. Bhd.

Manakala Alanasons Ltd. memiliki MEOG dan menjadi pengeluar daging proses halal lebih daripada 40 tahun dengan menembusi 71 pasaran asing.

Pada majlis yang sama, Felda Prodata Systems Sdn. Bhd. turut menandatangani perjanjian pelaburan dan pemegang saham dengan Innovation Associates Consulting Group.

Perjanjian itu bagi menjalankan perundingan berskala besar bagi pembangunan teknologi maklumat (IT) dan perkhidmatan terurus di dalam Kumpulan Felda.

Sementara itu Yusof Noor menambah, kerjasama kedua, iaitu sokongan teknologi maklumat dalam Kumpulan Felda dijangka menjadi pemangkin kepada perniagaan global Felda melalui peningkatan keupayaan IT.

Katanya, ia akan dijalankan melalui pendekatan memacu inovasi, keberkesanan dan transformasi.

Tiada ulasan: