Rabu, 23 Jun 2010

Felda kini menjadi 'benteng menanah' orang Melayu

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Felda, sebuah badan yang selama ini menjadi benteng orang Melayu yang dahagakan tanah kini menjadi 'benteng menanah', kata AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa dalam blognya.

Ia tidak lain dan tidak bukan kerana salah urus tadbir Felda yang meletakkan kepentingan Felda sebagai badan korporat dan lambang prestij lebih penting dari penerokanya sendiri.

Dalam tulisannya itu, Husam mempersoalkan dua kesilapan besar Felda iaitu apakah benar Felda ada melabur RM500 juta di Boston & Cincinatti di Amerika tiga tahun lalu?

"Apa jadi dengan pelaburan dalam Twin Rivers INC?" soal Husam dalam blognya yang menyifatkan wang itu hangus begitu sahaja.

Yang keduanya, Husam mempertikaikan langkah Felda membina ibu pejabatnya di kawasan mewah sehingga kos pembinaannya melambung dan mencecah RM660 juta berbanding dengan RM220 juta pada asalnya.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan ketika bercakap di Dewan Rakyat mengaku pengurangan berbilion ringgit harta Felda dalam masa yang singkat.

Dalam ucapannya, Maslan mengesahkan, harta Felda susut dari RM4.08 billion pada tahun 2004 kepada RM1.35 billion pada tahun 2009.

Ekoran itu bekas timbalan menteri Tanah dan Koperasi yang kini menyertai PKR, Dr Tan Kee Kwong serta anggota Parlimen Klang Charles Santiago, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenainya.

Dr Tan menyifatkan, ibu pejabat baru Felda yang sedang dibina di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur iaitu di Jalan Tun Razak umpama hotel lima bintang.

Bangunan yang bakal menelan belanja RM662 juta itu dianugerahkan kontraknya kepada Naza TTDI Sdn Bhd iaitu satu syarikat kroni Umno.

(Gambar: Dr Tan dan Charles Santiago bergambar selepas membuat laporan kepada SPRM- gambar Malaysiakini)

"Saya mempunyai maklumat sahih yang memaklumkan, daripada RM662 juta itu, RM230 juta telah dibayar dahulu sebelum kerja-kerja dimulakan," kata Tan yang juga bekas Timbalan Menteri Tanah dan Koperasi dari 1999 hingga 2004 yang selama ini menjaga hal ehwal Felda terutamanya untuk menjawab soalan-soalan di Dewan Rakyat.

Bagi Husam, Felda terbangun dari keringat dan azam politik. Dalam membangun warganya, terdengar suara rungutan seakan ada penindasan dalam bantuan. Jika tidak dengan lingkungan terkongkong, barangkali warganya telah jauh lebih makmur.

Namun, sedikit peraturan yang kurang memihak kepada warga yang keringatnya ditumpahkan dikatakan mustahak untuk menghasilkan kejayaan kolektif dalam bentuk lembaga besar Felda yang kaya raya.

Tekanan itu disamakan dengan pengorbanan.

"Hari ini, jika warga Felda yang telah berkorban itu dikhianati, wajarkah kita berdiam diri?" tanya Husam dalam blognya.

Hari ini, tulis Husam (gambar), tanda-tanda Felda telah dikhianati muncul satu demi satu, tetapi jawapannya yang memuaskan hati tidak muncul seperti dinanti.

1. Benarkah Felda telah melabur RM 500 juta, ulang, RM 500 juta di Boston & Cincinatti di Amerika tiga tahun lalu? Apa jadi dengan pelaburan dalam Twin Rivers INC?

"Benarkah pelaburan ini telah hangus?" soal beliau.

Beliau seterusnya bertanya, "Benarkah RM 500 juta ini bukannya pelaburan tetapi cara untuk wang Felda 'dileburkan'?"

Tentulah pelaburan sebesar itu dibuat dengan pertimbangan yang halus dan sebab yang menasabah. Kerana pelaburannya besar, jawapan yang terang sangat dinantikan, katanya lagi.

Jika pelaburan itu dibuat dengan pertimbangan teliti, mustahil ia boleh lesap begitu sahaja, tambah beliau.

"Jika pertimbangannya hanya kerana mengikut telunjuk satu dua orang sahaja, kita tidak tahu berapa banyak lagi wang Felda 'lebur' dengan cara ini. Apa lagi, jika 'peleburan' itu memang dirancang dan ada yang girang mengaut keuntungan darinya," katanya.

Husam juga mempersoalkan, kenapa Felda mengambil keputusan membina bangunan ibu pejabatnya di premis termahal sehingga kosnya melambung?
"Adakah Felda merasa ia telah menjadi elit ekonomi dan perlu mengasingkan diri di tempat ekslusif dengan membelanjakan wang titik peluh lebih seratus ribu warganya yang setengahnya masih merempat?"

Dari asalnya kos hanya sekitar RM 220 juta, kini meningkat melebihi RM 660 juta. Apakah faedah yang akan diperolehi oleh para peneroka Felda?, tanya beliau lagi.

"Adakah Felda memerlukan bangunan bertaraf tujuh bintang setaraf dengan KLCC? Siapakah yang membuat keputusan ini? Apa asas keputusan ini?" soalnya lagi yang menuntut jawapan telus dan berterus terang kerana ia akan membantu Felda terus utuh dan harapan warga Felda tidak punah.

Bagi beliau, pengakuan kerajaan di Dewan Rakyat bahawa akaun Felda telah merosot berbillion ringgit dalam sekelip mata membuktikan berita-berita tentang wang Felda diurus sesuka hati mula menampakkan ada kebenarannya.

"Namun, penjelasan Kerajaan hanya mengukuhkan apa yang kita dengar. RM 2 billion yang kononnya surut kerana digunakan untuk program tanam semula semacam mengiyakan wang sebanyak itu memang telah hilang. Bagi menjawab wang itu memang telah hilang tetapi mengelakkan warga Felda melenting, ia dikaitkan dengan tanam semula. Padahal, tabung tanam semula telah sedia wujud dari potongan para peneroka dan ia telah diletakkan dalam akaun yang berasingan. Satu perkara dua kali kira.

"Rakyat, terutama orang Melayu perlukan jawapan. Jawapan yang paling baik ialah melantik odit bebas dengan satu laporan di Parlimen diperlukan. Bukan hanya jawapan politik Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

"Lagi pun, Felda bukan milik UMNO. Felda tidak harus dibenarkan 'cair' bersekali dengan trend bocornya kerugian satu demi satu konglomerat negara kita," tegas beliau.

Tiada ulasan: