Rabu, 23 Jun 2010

'Ekonomi hawa tidak dipeduli dalam RMK10'

MALAYSIA KINI



Dunia sudah mengiktiraf dan mengikuti arus 'ekonomi hawa' sebagai keajaiban ekonomi masa kini yang boleh memacu ekonomi sesebuah negara, kata ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

"Ekonomi hawa yang merupakan kuasa beli wanita terhadap barangan pengguna dianggap sebagai peluang pasaran terbesar di dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semakin ramai wanita Malaysia yang mendapat pendidikan tinggi dan rancak melibatkan diri dalam sektor pekerjaan dengan pola sosial yang semakin berubah.

"Wanita bekerja mempunyai pendapatan sendiri dan kuasa beli mereka mampu memacu ekonomi negara jika barangan dan perkhidmatan tempatan boleh memenuhi keperluan dan kehendak pembeli wanita ini.

"Ekonomi hawa ini berupaya untuk membawa negara keluar dari krisis ekonomi yang sedang dihadapi!" tegasnya.

Malang sekali, katanya, perubahan kuasa beli wanita Malaysia ini tidak dihiraukan potensinya oleh kerajaan Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK).

"Kerajaan Malaysia tidak mahu meneladani usaha negara-negara maju untuk memanfaatkan potensi dalam ekonomi hawa ini.

"Kerajaan Malaysia BN dengan jumlah kakitangan awam yang gemok-gedempol seramai 1.2 juta, masih tidak dapat menangkap arus ekonomi dunia dengan cekap dari seawal perancangan ekonomi untuk lima tahun akan datang," katanya.

Menurut Zuraida lagi, kerajaan BN gagal merancang dan memanfaatkan 'ekomoni hawa' yang dikawal oleh separuh dari penduduknya iaitu wanita.

"Jika begitu, bagaimana hasrat Malaysia hendak mencapai taraf negara berpendapatan tinggi?

"Jika kerajaan BN terus-menerus tidak mengendahkan potensi ekonomi hawa ini, bukan setakat ekonomi negara akan menderita, begitu juga agenda pemberdayaan wanita dalam penyertaan politik dan pembuatan keputusan sektor awam turut akan terbantut," tambahnya

Tiada ulasan: