Sabtu, 26 Jun 2010

Ejen laman web judi, penerbit akhbar disaman

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan menyaman syarikat ejen laman web perjudian secara online dan penerbit sebuah akhbar Cina yang menyiarkan iklan perjudian itu dengan menuntut ganti rugi melebihi RM400,000 kerana memungkiri kontrak dan beroperasi tanpa lesen sah.

Chuah Yan Keng, 43, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semalam, melalui peguamnya Ravi Sodhi.

Beliau selaku plaintif menamakan TelePlanet Sdn Bhd selaku ejen perjudian dan penerbit akhbar The China Press Berhad, akhbar yang menyiarkan iklan perjudian itu sebagai defendan pertama dan kedua. Dalam pernyataan tuntutannya, Chuah berkata melalui iklan itu, Teleplanet membuat representasi bahawa ia adalah ejen bagi laman perjudian Citi Net, Aastar Net dan SBO Net yang menawarkan perkhidmatan perjudian online berlesen.

Chuah berkata, beliau mengambil bahagian dalam perjudian itu secara online dengan memasukkan sejumlah RM150,000 ke dalam akaun penama defendan pertama.

Katanya, beliau kalah dalam pertaruhan membabitkan wang berjumlah RM150,000 dan menang satu lagi pertaruhan berjumlah RM261,286.35, bagaimanapun defendan pertama enggan membayar wang kemenangannya.

Chuah berkata, selepas kejadian itu beliau mendapati TelePlanet beroperasi tanpa lesen, menyebabkannya membatalkan kontrak perjudian.

Sehubungan itu, Chuah menuntut ganti rugi RM150,000, ganti rugi tambahan atau teladan berjumlah RM261,286.35, kos dan injunksi menghalang defendan daripada menyiarkan atau menyebabkan iklan pertaruhan itu disiarkan lagi.

Tiada ulasan: