Ahad, 6 Jun 2010

EDMUND CHONG….MP Batu Sapi (empat dari kiri) bergambar dengan para penduduk Kg Air sejurus selepas hadir program Pemimpin Bersama Rakyat. Jaafar di sebelah kiri Edmund.

Oleh: MASTOPO SUMARJO


SYARIKAT kontraktor berdaftar dengan Jabatan Air yang melakukan pemotongan bekalan air tanpa memberikan amaran atau sebarang notis terlebih dahulu kepada seluruh penduduk Kampung Air, Sandakan, amat dikesali.

“Kesan daripada tindakan kontraktor berkenaan memotong bekalan air, rata-rata penduduk kampung ini tidak mendapat bekalan air walaupun setitik selama sebulan sehingga mereka terpaksa membeli air di tempat lain,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Air, Jaafar Mustapha

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran pejabat Ahli Parlimen Batu Sapi yang diadakan di Balai Raya Kampung Air, dekat sini kelmarin.

“Saya amat kecewa kerana pihak kontraktor tidak ada rasa belas kasihan langsung kepada seluruh penduduk kampung Air. Disebabkan perbuatan kejam dan zalim pihak kontraktor berkenaan, hampir 1,000 penduduk Kampung Air dalam kesusahan dan menderita selama sebulan kerana di rumah mereka ada paip tetapi tidak ada airnya,” tegas Jaafar.

Kata Jaafar lagi, tindakan kontraktor berkenaan telah melanggar saranan dan gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, di mana rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Keadaan sekarang terbalik pula, kata Jaafar kerana ‘Rakyat dikebelakangkan dan kepentingan kontraktor diutamakan’. Bagaimanapun beliau dan seluruh penduduk Kg Air mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah kerana keprihatinannya beliau telah turun padang menemui penduduk-penduduk terbabit setelah dimaklumkan bahawa penduduk kampung tersebut kini terputus bekelan air hampir sebulan.

Jaafar minta kepada Jabatan Air supaya membatalkan perlantikan kontraktor terbabit kerana telah melakukan satu kesalahan dan melanggar tatusila sifat kemanusian, kejam dan zalim tanpa mengikut peraturan yang berkuat-kuasa, terutama tatacara pemotongan dan kontrak yang dimaterai antara Jabatan Air dengan pengguna.

Bagaimanapun, Edmund Chong dalam ucapannya telah berjanji bahawa masalah air yang melanda kampung tersebut akan diselesaikan dengan secepat mungkin.

“Saya akan menyelesaikan masalah air dan saya akan berjumpa dengan Jurutera Bahagian Jabatan Air untuk membantu memulihkan keadaan demi kepentingan rakyat mahupun masyarakat kampung ini,” ujarnya Edmund Chong lagi.

Edmund Chong turut kesal dengan tindakan kontraktor berkenaan kerana dengan sewenang-wenangnya memotong bekalan air tanpa memberi notis terlebih dahulu kepada seluruh penduduk terbabit.

Katanya tindakan pihak kontraktor itu boleh menjejaskan nama baik kerajaan dan sekaligus membuat rakyat marah kerana mereka telah mengharungi kesengsaraan.

Tiada ulasan: