Ahad, 27 Jun 2010

Dewan Huffaz iktiraf tahfiz al-Quran

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Penubuhan Dewan Huffaz Kebangsaan untuk memberikan pengiktirafan kepada golongan tahfiz al-Quran, akan memudahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh institusi dan madrasah huffaz di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penubuhan Dewan Huffaz juga dapat menyeragamkan sijil tahfiz dari semua institusi dan madrasah Huffaz yang kini berbeza antara satu sama lain dan ini memudahkan JPA membuat pengiktirafan untuk tujuan penggajian.

“Maknanya kalau seseorang huffaz itu keluar dengan sijil yang diiktiraf JPA maka dia akan mudah mendapat pekerjaan dalam sektor awam dan dibayar gaji mengikut tangga gaji yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dewan Huffaz di Pusat Islam di sini hari ini.

Beliau berkata penubuhan dewan itu dapat memartabatkan institusi tahfiz di Malaysia selain mengesan jumlah sebenar huffaz di negara ini.

Grab a Celcom Blue Bear(TM) and stand to walk away with RM10,000!

“Setakat ini terdapat kira-kira 281 institusi tahfiz di seluruh negara yang dikelolakan kerajaan dan secara persendirian. Bila adanya gabungan ini mudah bagi kita menentukan jumlah sebenar penghafal al-Quran di Malaysia, yang kini dianggarkan antara 5,000 dan 6,000 orang,” katanya.

Beliau berkata setakat ini jumlah huffaz yang dikenal pasti mendapat sijil tahfiz daripada Darul Quran dan juga institusi tahfiz kerajaan negeri adalah seramai 2,908 orang.

Selain itu, katanya menerusi Dewan Huffaz juga akan memudahkan Majlis Agama Islam di negeri-negeri menyalurkan sagu hati kepada huffaz sebagai dorongan dan penghargaan sungguhpun mereka mempunyai pekerjaan lain.

“Sebagai contoh, mereka yang hafal 30 juzuk kita beri RM6,000 setahun sebagai sagu hati sunggpuhpun mereka mungkin bekerja di pejabat kerajaan, menjadi tok Imam dan sebagainya,” kata Jamil Khir

Tiada ulasan: