Khamis, 17 Jun 2010

DAP saman Keshvinder, Hee kerana langgar akujanji


P068-BERUAS

Oleh: Jamilah Kamarudin


KUALA LUMPUR: DAP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap dua wakil rakyatnya yang keluar parti dan melanggar akujanji yang ditandatangani selepas pilihanraya umum 2008.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang Datuk Hee Yit Foong dan Kesvinder Singh (ADUN Malim Nawar) bakal dikenakan denda sebanyak RM5 juta dan dan perlu mengosongkan kerusi mereka kerana melanggar perjanjian tersebut.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Khoo Ham berkata, DAP Pusat akan mengambil tindakan saman terhadap kedua-dua ADUN terbabit, seperti yang dipersetujui kepimpinan tertinggi parti itu.

"Saya sudah berbincang dengan beberapa pemimpin kanan termasuk Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung) dan Karpal Singh (Pengerusi) dan mereka bersetuju," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata, perkara ini bagaimanapun akan diputuskan secara rasmi semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada 28 Jun ini.

Keshvinder merupakan ADUN DAP Perak kedua yang keluar parti semalam dan menjadi ADUN Bebas selepas Hee yang bertindak sedemikian pada Februari tahun lalu.
Kesvinder dibebani hutang

Ngeh mendakwa, sebab utama Keshvinder keluar parti kerana dibelenggu masalah kewangan dan peribadi.

Menurut Ngeh, Keshvinder mengadu keretanya ditarik kerana gagal membayar ansuran pinjaman dan memerlukan wang sebanyak RM3,500 bagi membayar tunggakan itu.
Hutang itu bagaimanapun dilangsaikan oleh Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim.

"Bulan lalu juga, kerani yang bekerja di dalam firma guamannya telah melakukan pecah amanah sebanyak RM45,000 di mana wang pelanggan firma telah dilesapkan.

"Beliau juga mempunyai hutang tertunggak dalam Kelab DiRaja Perak sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Ngeh menjelaskan DAP Perak pernah berusaha untuk membantu Keshvinder mengatasi masalah kewangannnya tetapi tawaran Umno-BN lebih lumayan.

Ini dibuktikan apabila Keshvinder pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lalu kerana beliau pernah ditawarkan RM20 juta oleh Barisan Nasional (BN) agar melompat parti.

Bagaimanapun sehingga kini SPRM tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyiasat dakwaan Keshvinder itu.

"Saya percaya beliau disogok wang sama seperti Hee dan alasannya bahawa beliau hilang keyakinan terhadap Pakatan Rakyata adalah palsu," katanya.

Tiada ulasan: