Selasa, 8 Jun 2010

Cawangan Umno mahu subsidi diteruskan

Zulaikha Zulkifli

Isu pemotongan subsidi menjadi antara isu utama yang dibangkitkan dalam mesyuarat cawangan Umno yang sedang berlangsung sejak 1 Mei lalu.

Di Kedah, timbalan ketua penerangan Umno negeri itu Datuk Zubir Saad berkata, isu tersebut ditimbulkan dalam mesyuarat kali ini dengan saranan supaya kerajaan mengkaji semula cadangan pengurangan subsidi tersebut.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, apabila subsidi dibatalkan, (harga) barang-barang akan naik.

"Jadi kami mengharapkan agar (pengurangan) subsidi ini dikaji semula supaya ia tidak membebankan rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Gesaan itu timbul berikutan keadaan semasa yang menunjukkan peningkatan hutang kerajaan kepada RM300 bilion dan ancaman muflis dalam tempoh sembilan tahun sekiranya pemberian subsidi diteruskan.

Selain isu subsidi, Zubir juga berkata, isu perpecahan di kalangan pemimpin bahagian juga turut dibangkitkan dalam mesyuarat cawangan kali ini.

Pemimpin bahagian yang telahpun tewas dalam pemilihan sebelum ini dikesan "mewujudkan perpecahan" di kalangan penyokong peringkat cawangan, katanya lagi.

Perlu terima kekalahan

"Isu perpecahan ini berlaku bukan berpunca daripada penyokong tetapi pemimpin itu sendiri. Perpecahan yang saya maksudkan ialah perpecahan di peringkat bahagian.

“Pemimpin di peringkat bahagian mencipta perpecahan dengan adanya puak-puak penyokong mereka. Mana-mana ketua bahagian yang telah kalah, perlu terima kekalahan.

"Oleh itu, pemimpin di peringkat cawangan berharap agar pemimpin di peringkat bahagian supaya elak dari berpecah," katanya.

Selain di Kedah, isu pemberian subsidi turut menjadi antara agenda utama mesyuarat cawangan parti itu di Selangor.

Ini diperhatikan oleh ketua Umno bahagian Kapar Datuk Abdul Rahman Palil yang turut berpendapat, mekanisme sedia ada perlu diubah bagi membolehkan golongan sasarnya mendapat manfaat berkenaan.

"Pemberian subsidi tidak boleh dihapuskan tetapi perlu distrukturkan semula. Mekanisme cara pemberian subsidi perlu diberi kepada mereka yang betul-betul layak supaya ia tidak disalahgunakan.

"Subsidi bukan untuk memanjakan rakyat sebaliknya ia untuk menyelamatkan negara dan rakyat," ujarnya lagi.

Mesyuarat kali ini juga banyak melakukan usaha 'pemutihan' di kalangan keanggotaannya, kata Abdul Rahman lagi.

Jelasnya, sesi mesyuarat tersebut menyaksikan senarai ahli setiap cawangan tersebut disemak satu persatu.

Semakan itu perlu untuk menghapuskan "duri dalam daging" di peringkat cawangan, katanya lagi.

Tambahnya, nama-nama itu kemudiannya dibuang daripada senarai ahli di setiap cawangan terlibat.

Mesyuarat cawangan kali ini akan berakhir pada 15 Jun, diikuti dengan persidangan perwakilan bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dalam tempoh bermula 16 Jun dan berakhir 16 Julai.

Perhimpunan agung parti itu pula akan berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober depan.

12 ulasan:

langsat berkata...

Bagi saya diharapkan agar subsidi ini dapat diteruskan. Tanpa subsidi harga barang akan naik dan lebih mahal dari sebelumnya, dan ia akan membebenkan sebahagian daripada rakyat di Malaysia terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

khalid berkata...

Pemberian subsidi tidak boleh dihapuskan tetapi perlu distrukturkan semula. Mekanisme cara pemberian subsidi ini perlu diberi kepada mereka yang betul-betul layak supaya ia tidak disalahgunakan. Diharapkan juga pemberian subsidi ini dapat dikaji semula dan tidak membebenkan rakyat dan kerajaan.

Tanpa Nama berkata...

subsidi dikurang untuk mengurangkan beban kerajaan. namun rakyat akan makin terbeban jika tiada subsidi. oleh itu, pemberian subsidi harus diberikan kepada golongan tertentu sahaja, seperti golongan berpendapatan rendah.

Hamdan Hadillah berkata...

subsidi mestilah diteruskan..kalau di kurang kan maka barang2 harian mungkin meningkat..ini akan membebankan rakyat kita..subsidi ini haruslah di berikan kepada orang2 yang betul2 memerlukan..

tombolo berkata...

pemotongan subsidi boleh menambahkan lagi beban hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah. kerajaan perlu menimbang semula pemotongan ini. jika tidak pun, biarlah diberi kepada golongan tertentu sahaja seperti golongan berpendapatan rendah. dengan ini beban rakyat berpendapatan rendah dapat dikurangkan, beban kerajaan juga dapat dikurangkan.

Unknown berkata...

kerajaan haruslah berfikir dulu sebelum bertindak. padahnya kita tidak tahu kalau tersilap langkah.

somboi berkata...

Pemotongan subsidi bermakna harga barangan akan melonjak, antara barangan asas yang disebut-sebut akan terbabit dalam kenaikan harga termasuk petrol yang bakal dinaikkan daripada RM1.85 seliter kepada RM2.00 dan gula daripada RM1.75 sekilo kepada RM2.00. ini akan membebankan rakyat. harap kerajaan akan menimbang semula perkara ini.

Ted Medresher berkata...

antara kesan2 pemberian subsidi, banyak barangan kawalan kita boleh didapati dinegara2 jiran, maknanya kita juga telah menanggung subsidi negara2 jiran. perbelanjaan negara juga meningkat apabila kerajaan mempertingkatkan kawalan maritim bagi membanteras penyeludupan tersebut. oleh itu pemotongan subsidi ini wajar dilaksanakan namun kerajaan masih perlu mengkaji dengan mengambil kira nasib golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ted Medresher berkata...

rakyat negara Filipina dan Indonesia boleh menerima subsidi yang rendah dari kerajaan mereka. oleh itu, bagi membantu negara mengurangkan defisit dan mengukuhkan kewangan negara, kita perlu menerima pelaksanaan ini. saya amat berharap, jika kerajaan dapat menangguh pemotongan subsidi sehingga rakyat benar2 bersedia. iaitu selepas program membasmi kemiskinan benar2 berhasil dan selepas skim gaji minimum dikuatkuasakan.

Hamdan Hadillah berkata...

saya setuju dengan kata2 2718, biarlah tunggu sehingga rakyat bersedia untuk pemotongan subsidi itu. Bagi pleuang kepada rakyat untuk menikmat subsidi itu dahulu. selesaikan dulu masalah lain barulah kerajaan bertindak untuk membuat pemotongan subsidi tersebut.

Sanih Alias berkata...

harap kerajaan akan meneruskan buat seketika ini. sekiranya subsidi di kurang memang banyak barang akan melonjak naik. bagi rakyat yang berpendapatan rendah, ini akan membebankan mereka untuk menampung hidup. sebelum terjadi apa2 yang tidak di ingini berlaku, kerajaan harus membuat keputusan yang baik.

jack berkata...

impak atau kesan pemotongan subsidi khasnya kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah serta industri SME harus dikaji secara mendalam dan teliti..diharap kerajaan akan memberi penyelesaian yang diyakini dan diterima oleh golongan ini.