Selasa, 8 Jun 2010

Blok L dan M, Siapa Kata Ia Milik Brunei?

KELAB GREENBOC

Anwar Desak Najib Jelaskan Isu Lapangan Minyak

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendesak kerajaan UMNO-Barisan Nasional untuk menjelaskan kepada rakyat kenapa ia menyerahkan tuntutan ke atas pelantar minyak bernilai lebih RM 320 bilion kepada Brunei.

Anwar akan meminta penjelasan itu di Parlimen esok kerana hasil rundingan isu dua pelantar minyak berkenaan dan tuntutan Brunei ke atas Limbang tidak dilakukan secara telus walaupun ia membabitkan kepentingan nasional.

“Saya akan respon kenyataan Menteri Luar mengenai Blok L dan M ini kerana kita ada maklumat tepat di bawa hujah tetapi tidak cukup waktu hari ini untuk saya ulas".

“Itu adalah perkara serius juga kerana nampaknya buat pertama kali pengakuan bahawa isu itu sememangnya dipertikaikan, dia menyerah kepada Brunei tanpa membuat apa-apa pengumuman" tambahnya lagi.

Anwar berkata Perdana Menteri Najib Razak harus tampil member penjelasan kerana beliau adalah timbalan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bersetuju menyerahkan dua pelantar minyak itu pada tahun 2009.

“Sebenarnya ia perjelaskan beberapa isu di sini, saya rasa perlukan satu penjelasan yang penuh, dia tidak boleh ada perbincangan rahsia dan mereka mengambil sesi ini dan kemudian baru hendak menerangkan kepada orang awam, kita tahu perkara ini pun dari syarikat minyak Petronas apabila sudah hentikannya di situ dan ini bukan caranya awak cuba hendak menguruskan kawasan itu dan saya akan mengambil bahagian dalam isu ini" ulas Anwar.

UMNO-BN mendakwa perjanjian itu menguntungkan Malaysia kerana Brunei bersetuju menggugurkan tuntutannya ke atas Limbang. Namun setakat ini belum ada kenyataan rasmi Brunei bahawa ia bersetuju berbuat demikian.

Penyerahan dua pelantar minyak itu sebaliknya membawa maksud Malaysia melepaskan hak milik buminya kepada Brunei dan menafikan rakyat Sabah dan Sarawak hak menikmati hasil pendapatan daripada dua pelantar minyak itu.

Anwar berkata isu kedaulatan wilayah perairan negara tersebut sepatutnya dirujuk kepada parlimen dan Dewan Undangan Negeri terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil.

Penyerahan dua pelantar itu hanya diketahui umum apabila Petronas membatalkan kontrak perkongsian pengeluaran membabitkan kawasan itu yang dianugerahkan kepada Murphy Sabah Oil Co.Ltd dibatalkan. -TVS
Anifah: Blok minyak hak Brunei tapi Malaysia kongsi hasil

Walaupun Brunei merupakan pemilik sah dua blok minyak iaitu Blok L dan M, namun Malaysia tetap menerima bahagiannya bagi hasil minyak dan gas di kedua-dua kawasan minyak berkenaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Menjelaskan pertikaian berhubung kedua-dua kawasan minyak itu, beliau berkata perkongsian hasil adalah sesuatu yang tidak mustahil menerusi perjanjian komersial yang dimeterai pemimpin kedua-dua negara dalam Pertukaran Surat pada 16 Mac 2009.

Bagaimanapun, kedua-dua negara masih membincangkan nisbah kerana Brunei mempunyai hak kedaulatan ke atas kedua-dua blok minyak tersebut, katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

“Jika kita melihat dengan teliti tafsiran undang-undang berdasarkan UNCLOS (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut) 1982 adalah jelas kedua-dua blok itu milik Brunei.

“Kita telah mendapatkan pandangan beberapa pakar perundangan dan peguam maritim mengenai perkara ini,” katanya ketika diminta mengulas jawapan beliau kepada soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar meminta kerajaan menyatakan kesahihan keputusan kerajaan Persekutuan menyerahkan blok-blok tersebut kepada Brunei dan isu mengenai hak kedaulatan sempadan perairan di kawasan berkenaan tidak dirujuk kepada Parlimen dan Dewan Rakyat.

“Kesemuanya (blok-blok berkenaan) milik mereka jadi bagaimana kita mahu mengarah mereka berbuat sesuatu? (Brunei mungkin berkata) jika anda mempunyai permintaan yang berpatutan, maka saya akan menimbangnya... tetapi jika anda mendesak, sudah tentu kami akan kata ia milik kami, mengapa kami patut tunduk kepada kemahuan anda?”

“Apa yang dipersetujui Brunei pada prinsipnya ialah mengenai perkongsian ... tidak kisah banyak manapun, tetapi paling penting ialah mereka menawarkan isyarat persahabatan, ia bukan tentang wang ringgit,” kata beliau.

Terdahulu ketika menjawab soalan Anwar (PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat, Anifah menjelaskan elemen yang terkandung dalam pertukaran surat pemimpin kedua-dua negara, terutamanya yang melibatkan persempadanan maritim dan darat Malaysia-Brunei, adalah sah dan tidak bercanggah dengan peruntukan Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan seperti dakwaan sesetengah pihak.

Beliau juga menegaskan bahawa elemen itu juga tidak mengubah sempadan mana-mana negeri yang berkaitan, malahan mengesahkan sempadan yang wujud di antara Sabah dan Sarawak dengan Brunei.

Pertukaran Surat itu mengandungi empat elemen penyelesaian bagi isu tuntutan bertindih antara Brunei dan Malaysia iaitu persempadanan maritim, aturan komersial, persempadanan darat serta akses maritim.

Anifah berkata pada masa ini, kedua-dua pihak sedang melaksanakan kesemua elemen penyelesaian seperti yang terkandung dalam Pertukaran Surat itu. — Bernama
Ulasan GB

Pertama, Anifah menjawab persoalan ini bukan di dalam Parlimen tetapi di luar parlimen. Persoalannya, siapakah yang menentukan bahawa Blok L dan M milik Brunei wahai Anifah?

Kedua, katanya “Kesemuanya (blok-blok berkenaan) milik mereka jadi bagaimana kita mahu mengarah mereka berbuat sesuatu? (Brunei mungkin berkata) jika anda mempunyai permintaan yang berpatutan, maka saya akan menimbangnya... tetapi jika anda mendesak, sudah tentu kami akan kata ia milik kami, mengapa kami patut tunduk kepada kemahuan anda?”

Jika demikian mengapa tidak disahkan melalui proses timbangtara ICJ seperti kes Batu Putih? Apakah Peguam Negara enggan mengahadapinya kerana beliau memang pemalas dan tidak berkeupayaan untuk mempertahankan hak Malaysia seperti gagalnya beliau di dala isu Batu Putih?

Selama ini kita melihat semenjak era Abdullah Ahmad Badawi lagi, PM dan TPM yang tidak tahu undang-undang sentiasa bergantung kepada Peguam Negara sebagai kata putus dalam hal-hal yang melibatkan perundangan dan ini telah dimanipulasikan oleh Peguam Negara bagi menetapkan apa yang perlu tau tidak dilakukan oleh Kerajaan.

Isu-isu seperti penyerahan tanah KTMB kepada Singapura, penyerahan Blok L dan M kepada Brunei adalah contoh-contoh bagaimana mudah Kerajaan dipermainkan oleh Peguam Negara yang enggan untuk berhadapan dengan negara luar di ICJ kerana mereka dimalukan akibat kegagalan di dalam isu tuntutan Batu Putih.

Peguam Negara hanya yakin mempertahankan Kerajaan Malaysia di dalam sebarang kes yang diadili di Malaysia kerana beliau mempunyai kuasa amat besar di dalam menentukan hakim-hakim yang mengadili kes tetapi beliau tidak mempunyai kredibiliti apabila berdepan dengan kes yang melibatkan hakim-hakim luar yang beliau tidak mempunyai sebarang kuasa ke atas mereka.

16 ulasan:

tombolo berkata...

diharap dengan penjelasan yang dibuat di parlimen nanti, rakyat akan memahami situasi sebenar mengenai penyerahan 2 blok minyak tersebut kepada Brunei.

Ted Medresher berkata...

apa penyelesaian terbaik jika Brunei sekeras2nya mendakwa blok itu milik mereka dan mereka mempunyai kelebihan berdasarkan sempadan dan undang2 antarabangsa? sekurang2nya M'sia tidak pulang dengan tangan kosong.. Anwar juga perlu meminta penjelasan dari kerajaan atau sultan Brunei berhubung dengan isu ini dan melihat sendiri kedudukan blok tersebut dalam peta Brunei. apa2pun kerajaan tidak perlu berselindung dengan desakan Anwar dan beri penjelasan secepat mungkin.

Ted Medresher berkata...

berkenaan dengan KTMB.. Menurut perjanjian yang telah termaktub sejak sekian lama, sekiranya KTMB tidak lagi menggunakan tanah-tanah tersebut, maka ianya perlu diserahkan kembali kepada Kerajaan Singapura. jika diteliti, hak milikan tersebut hanyalah bersifat sementara, iaitu selagi tanah-tanah tersebut digunakan oleh KTMB, jika tidak, ia perlu dipulangkan semula kepada Kerajaan Singapura...

Ted Medresher berkata...

kerajaan tidak akan sewenang2nya menyerahkan mana2 wilayah Malaysia. Kita perlu melihat sesuatu isu itu dalam konteks yang menyeluruh, konteks "menang-menang" dan jangan dipengaruhi oleh emosi atau kepentingan politik.

khalid berkata...

Apa yang saya lihat sebenernya blok L dan blok M ini adalah milik brunei

khalid berkata...

bagaimanapun ia perlu dijelaskan juga agar rakyat tahu perkara sebenar.

somboi berkata...

isu penyerahan 2 blok minyak ini kepada Brunei telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan rakyat terutama sabah dan sarawak. diharap pihak BN dapat memberikan penjelasan penuh di parlimen nanti. bagaimanapun hasil yang dicapai dari penerahan ini telah menguntungkan kedua belah pihak.

pagardawai berkata...

janganlah cuba politikkan isu blok M dan L kerana ia boleh menyebabkan kemarahan Brunei. Rujuk website ini untuk keterangan lanjut tentang isu ini: http://www.petroleum-unit.gov.bn/oil_gas.htm

pagardawai berkata...

brunei report; block L - Area covered with (1967-
1980s) 2D seismic lines and
(1992) 3D seismic survey.
23 wells drilled between
1913 -1987).

block M - 18 wells drilled between
1913 - 1987.
Production: 5350 m3 oil and
some gas (Shut down in
1931)

yang menunjukkan bahawa beberapa carigali minyak dilakukan oleh Brunei semenjak tahun 1913 lagi. bukanlah menyokong Brunei sebab minyak adalah sangat berharga..cuma kalau Brunei sudah ada bukti apa negara kita boleh buat?

Tanpa Nama berkata...

penjelasan telah diberikan juga sebelum ini. kedua blok itu telah disahkan adalah milik Brunei. walaupun kedua blok itu menjadi milik Brunei, Malaysia tetap menerima bahagiannya bagi hasil minyak dan gas di kedua-dua kawasan minyak berkenaan.

khalid berkata...

Saya setuju dengan 'pagardawai' blok L dan blok M ini yang jelas ialah milik brunei. Rujuklah http://www.petroleum-unit.gov.bn/oil_gas.htm. Pasti ada jawapannya.

POP berkata...

Ia memang dah milik Brunei, mengapa masih lagi bincang ttg hal ni?

pagardawai berkata...

hairan juga pihak pembangkang tidak habis-habis mengatakan hal yang sudah ada bukti depan mata

Paquin berkata...

Hal ni semakin complicated la. Kan hal dah dijelaskan kenapa masih ada pihak yg mahu isu ni diperbesarkan lagi??? aduii tolonglah jangan politikkan isu ni.

Paquin berkata...

Mcm yg si pagardawai cakap, kalau terang-terang Brunei ada bukti kukuh menunjukkan blok tu mmg milik dorang, apa lagi yang kita boleh buat???
Takkan mahu suruh kerajaan begaduh sama brunei baru puas hati. huhuhu

Paquin berkata...

Harap isu ni tak timbul lagi.. Cukup lah, nanti orang luar ingat kita pula yang mahu rampas hak org lain.
Sudah-sudah lah k :)