Sabtu, 5 Jun 2010

Beri lesen untuk halal judi ‘pendek akal’

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) menyifatkan mereka yang meluluskan lesen judi kerana mahu menyekat aktiviti judi adalah golongan `pendek akal’.

Setiausahanya, Nahar Mohd Noor berkata, bukan caranya untuk ‘menghalalkan’ judi dengan mengeluarkan lesen judi.

Beliau berkata, jika demikian kemungkinan pelacuran dilesenkan untuk menghalalkannya.

“Orang pendek akal melakukan demikian,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan ringkas pada Pelancaran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) di hadapan sebuah kompleks membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, petang ini.

Tegasnya, perkara yang buruk dan haram seperti judi tidak boleh diatasi dengan cara memberi lesen.

Katanya lagi, tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia akan menyebabkan rakyat terus terperangkap dengan ketagihan judi.

Menurutnya, kajian menunjukkan mereka yang terperangkap dengan kes along kerana terlibat dengan perjudian.

Berucap pada majlis yang sama, Setiausaha Abim, Rahimi Abdul Rahman pula melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana bantahan rakyat terhadap judi sukan itu tidak disambut oleh media arus perdana.

Sehubungan itu, beliau berharap media arus perdana turut memainkan peranan untuk membantah kelulusan lesen judi itu bagi menyedarkan masyarakat.

Tiada ulasan: