Khamis, 24 Jun 2010

Bekalan bermasalah 2015

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menghadapi kekurangan bekalan tenaga pada 2015 sekiranya pembinaan loji janakuasa baru tidak dibangunkan pada tahun depan.

Permintaan bagi tenaga dijangka meningkat lima peratus setahun mulai tahun ini hingga 2015 dengan peningkatan ekonomi pada purata enam peratus setahun.

''Mengambil kira pertumbuhan permintaan tenaga sebanyak lima peratus setahun, ia akan meningkat sebanyak 22 peratus berasaskan campuran.

''Rizab margin akan mengecil dan menyusut di bawah tahap selamat 20 peratus dan ia akan mengakibatkan masalah,'' kata Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Menurutnya, rizab margin berbanding gangguan transmisi atau peningkatan permintaan kini adalah sebanyak 42 peratus.

TNB yang mengeluarkan separuh daripada tenaga di Malaysia, memiliki sembilan janakuasa dengan jumlah kapasiti hampir 12,000 megawat.

Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rancangan bagi pembinaan dua jana kuasa arang batu, masing-masing dengan kapasiti 800 MW dan 1,000 MW pada kos RM7 bilion.

Che Khalib berkata, pembinaan janakuasa itu perlu dimulakan awal 2011 memandangkan loji janakuasa mengambil masa 48 bulan untuk disiapkan.

Pembinaan bagi janakuasa yang diputuskan secara tender tertutup membabitkan TNB, Malakoff Corp. dan Jimah.

Che Khalib menambah, TNB tidak mempunyai masalah pembiayaan kerana ia memilik tunai sebanyak RM7 bilion dan belum menggunakan kemudahan perbankan sehingga RM5 bilion.

TNB membelanjakan RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun untuk perbelanjaan modal.

''Sekiranya kami memenangi pembidaan bagi dua janakuasa ini, kami mungkin mempertimbangkan untuk menerbitkan bon Islam sehingga RM5 bilion pada pertengahan tahun depan,'' ujar beliau.

Kerajaan telah membatalkan rancangan untuk membawa tenaga ke Semenanjung dari Empangan Bakun di Sarawak, sekali gus akan mengakibatkan kekurangan bekalan tenaga memandangkan TNB dijangka mengambil 1,600MW hingga 2,000MW dari Sarawak antara 2015 dan 2017.

Malaysia pernah mengalami gangguan bekalan elektrik pada 1991, sehingga menyebabkan kewujudan pengeluar tenaga bebas (IPP).

Che Khalib berkata, penggunaan tenaga diperbaharui sukar dilaksanakan di Malaysia, kecuali kerajaan memberi dana subsidi kepada pengeluar.

''TNB berupaya menawarkan sehingga 21 sen setiap kilowatt sejam bagi tenaga diperbaharui, harga yang dikenakan kepada pelanggan,'' katanya.

Malaysia kini menghasilkan 55 MW tenaga daripada sumber diperbaharui.

Malaysia bersama Thailand, Indonesia dan Singapura juga sedang serius menimbangkan penubuhan loji janakuasa nuklear.

''Kami akan menandatangani perjanjian dengan Korea Electric Power Corp. minggu depan untuk meneroka keperluan teknikal loji nuklear.

''Cadangan penggunaan tenaga nuklear masih awal dan kerajaan masih belum mengenal pasti lokasi bagi reaktor,'' tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, TNB belum menerima sebarang keputusan berhubung kenaikan tarif elektrik. - Dowjones

Tiada ulasan: