Sabtu, 19 Jun 2010

33 daripada 207 majikan dikompaun oleh Perkeso

SABAH DAILY

TAWAU: Sebanyak 33 daripada 207 majikan dikenakan kompaun oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada minggu pertama Ops Kesan dijalankan iaitu di antara 2 hingga 11 Jun 2010 lalu.

Pengurus Perkeso Tawau, Mariam Hassan, berkata tindakan terbabit diambil kerana kesemua majikan tersebut gagal mendaftarkan perusahaan atau pekerja mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya, mereka dikenakan di kompaun mengikut Seksyen 4 dan 5, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Dalam hal sama, Mariam memberitahu bahawa Ops Kesan diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pihak majikan tentang tanggungjawab mereka mencarum serta menjamin hak-hak keselamatan sosial pekerja.

OPS Kesan jelasnya dijalankan serentak di seluruh negara di sepanjang Jun 2010 ini dan Perkeso Tawau menjalankan pemeriksaan ke atas majikan-majikan yang berada di daerah Tawau, Kunak dan Semporna.

“Kita berharap mana-mana majikan yang layak tetapi belum berdaftar dengan Perkeso agar segera berbuat demikian bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Pendaftaran perusahaan atau pekerja katanya boleh dibuat di mana-mana kaunter Perkeso yang terdekat. -NST

Tiada ulasan: