Selasa, 22 Jun 2010

'13 timbalan exco K'tan untuk kaburi rakyat'

Zulaikha Zulkifli

Perlantikan 13 timbalan exco kerajaan negeri Kelantan semalam bertujuan untuk menggaburi mata rakyat, dakwa ketua Pemuda Umno negeri Anuar Safian.

Beliau berkata, perlantikkan tersebut mempunyai unsur politik bagi menutup kegagalan kerajaan PAS mentadbir negeri itu.

"Perlantikkan timbalan exco ini (dibuat) untuk beritahu rakyat (bahawa) mereka bekerja keras untuk rakyat.

"Tetapi saya tak nampak apa-apa sumbangan exco yang sedia ada ini dari segi ekonomi, kebajikan belia dan lain-lain lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Anuar turut menambah, beliau tidak nampak apa-apa kepentingan dengan perlantikkan timbalan-timbalan exco tersebut.

"Exco yang sedia ada pun tidak menjalankan tugas," katanya sambil mendakwa motif pelantikan itu dibuat mempunyai kaitan dengan tarikh pilihan raya umum yang makin hampir.

Semalam, kerajaan PAS Kelantan melantik 13 timbalan ahli exco untuk meringankan beban tugas anggota exco negeri. Kesemua mereka merupakan ADUN.

PAS: Lari bajet tak banyak sangat

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berkata, pelantikan ke jawatan yang baru diperkenalkan itu berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kelantan Ahmad Baihaqi Atiqullah pula ketika dihubungi berkata, tindakan kerajaan negeri membuat pelantikan itu bukan satu pembaziran, sebaliknya bagi meringankan tugas exco.

"Kalau lari dari belanjawan, tak banyak sangat. Kalau terpaksa keluarkan wang untuk kebaikkan negeri, ia berpatutan dan bukan pembaziran.

"(Sebaliknya) kalau wang yang digunakan sedikit sehingga tidak memberi manfaat kepada kerajaan, itu (baru) dikira membazir," jelasnya.

Ahmad Baihaqi juga menjelaskan perlantikkan tersebut bukan bertujuan untuk mengelakkan pemimpinnya daripada melompat parti.

"Tidak timbul isu lompat parti. Dan perkara itu tidak akan terjadi," tegasnya yang juga ADUN Pasir Tumboh

Tiada ulasan: