Selasa, 18 Mei 2010

Polis akan diminta baiki IGSO jamin siasatan telus

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA — Panel khas memantau siasatan kematian remaja Aminulrasyid Amzah berkemungkinan akan meminta polis menambahbaiki Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) agar proses siasatan dapat dijalankan dengan adil dan telus.

“Masih terlalu awal untuk membuat sebarang cadangan.

“Kita telah buat cadangan, tetapi kita telah meneliti laporan awal yang disediakan dan mendapati

ada beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop berkata pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat panel khas tersebut di pejabatnya di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya belum membuat sebarang cadangan untuk mendedahkan IGSO yang digunakan dalam siasatan itu kepada umum.

Abu Seman berkata mereka telah membuat penilaian terhadap laporan awal siasatan berkenaan dan mendapati masih terdapat banyak ruang yang boleh ditambah baik.

Mesyuarat selama tiga jam itu disertai oleh semua anggota panel termasuk Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz.

Abu Seman berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendakwa bahawa panel khas itu telah membuat cadangan supaya IGSO itu didedahkan untuk pengetahuan umum dalam laporan awal siasatan berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam reaksi terhadap laporan akhbar itu berkata polis bersedia mendedahkan IGSO mengenai kaedah dan prosedur penggunaan senjata api untuk pengetahuan orang ramai sekiranya diminta berbuat demikian.

Pada 25 April lepas, Aminulrashid mati setelah terkena tembakan yang dilepaskan polis di Seksyen 11 Shah Alam ketika cuba melarikan diri selepas kenderaan yang dipandunya terserempak dengan kereta peronda polis.

Tiada ulasan: