Isnin, 10 Mei 2010

Mohd Reza Bangga Nama Mokhtar Dahari Masih Diingati


BERNAMA



Anak lagenda bolasepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar
Dahari, Mohd Reza menunjukkan isyarat bagus selepas
gelanggang di Kompleks Futsal Putrajaya diberi nama sempena
nama ayahnya, Gelanggang Mokhtar Dahari selepas majlis
perasmian Kompleks Futsal Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pengiktirafan dan penghargaan yang terus diberikan kepada bintang bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sedikit sebanyak menyentuh perasaan anggota keluarganya.

Pada 8 Mei lalu, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh Allahyarham atau lebih dikenali sebagai "Super Mokh", Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya menamakan gelanggang utama di Kompleks Futsal Presint 18 sebagai "Gelanggang Mokhtar Dahari".

Upacara perasmian gelanggang itu dirasmikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Bagi anak sulung Allahyarham, Mohd Reza, 38, pengiktirafan dan penghargaan seumpama itu secara tidak langsung memperlihatkan bahawa orang ramai masih menghargai jasa Allahyarham dan mengingati beliau.



Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bersalaman dengan
Mohd Reza anak kepada Jaguh bolasepak negara, Allahyarham
Datuk Mokhtar Dahari sebelum perlawanan futsal persahabatan
antara pasukan pilihan Menteri Belia dan Sukan dengan Pasukan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sempena perasmian
Kompleks Futsal Putrajaya, semalam. Turut sama ialah Menteri
Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek (kiri). Kompleks
futsal itu dinamakan bersempena nama lagenda bola sepak
negara, Allahyarham Mokhtar.

"Saya sekeluarga sememangnya berbangga dan berterima kasih walaupun sudah 19 tahun arwah telah meninggalkan kita, orang ramai masih mengingati beliau (Mokhtar).

"Jasa beliau terhadap sukan bola sepak negara selama ini tiada tolok bandingannya," kata Mohd Reza. Allahyarham Mokhtar, yang terkenal sebagai seorang penyerang berbisa dan paling disegani di rantau Asia, meninggal dunia pada 11 Julai 1991 selepas menghidap penyakit distrofi otot.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah mewakili negara pada Sukan Asia Teheran (1974) dan Bangkok (1978); Sukan SEA Bangkok (1975), Kuala Lumpur (1977) dan Jakarta (1979); Pesta Bola Merdeka 1972 hingga 1984 dan penampilan terakhir pada Bola sepak Pra-Olimpik di Seoul, Korea Selatan pada 1985.

Walaupun ketika ayahnya menghembuskan nafas terakhir Mohd Reza baru berusia 10 tahun, namun beliau memahami bahawa pemergian ayahnya itu merupakan satu kehilangan besar buat arena sukan tanah air khususnya bola sepak negara.

Sejak itu, Mohd Reza, yang mesra dengan panggilan 'Jaja', telah menanam cita-cita untuk mengikut jejak arwah ayahnya.



Keluarga Allahyarham Mokhtar Dahari, jaguh bolasepak
negara Tengku Zarina Tengku Ibrahim (dua kiri), anak-anaknya
(dari kanan) Nur Arina, Mohd Reza dan Nur Azera gembira selepas
salah satu gelanggang di Kompleks Futsal Putrajaya di beri nama
Gelanggang Mokhtar Dahari.

"Minat saya dalam bola sepak timbul bila saya sering di bawa arwah ayah ke stadium atau padang latihan," katanya.

Antara pembabitan beliau dalam sukan bola sepak ialah mewakili Selangor dalam Pertandingan Bola sepak Piala Emas Raja-Raja pada awal tahun 2000.

Di awal pembabitan beliau dalam arena bola sepak, Mohd Reza pernah mewakili pasukan Bawah 14 tahun Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke beberapa kejohanan peringkat kebangsaan.

"Sekarangpun saya masih bermain bola sepak tetapi tidak aktif seperti dulu. Saya masih terlibat dalam bola sepak tetapi saya hanya bermain untuk pasukan UMW," kata Mohd Reza, yang kini berkhidmat sebagai pegawai di Bahagian Perhubungan Korporat UMW Corporation. -

Tiada ulasan: