Isnin, 10 Mei 2010

MB Mahu Ubi Keledek Tembusi Pasaran Antarabangsa

TV SELANGOR

Sekalipun Selangor terkenal dengan sektor perindustrian, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tetap mahu memperkasa sektor pertanian negeri termasuk penanaman ubi keledek hingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Namun, beliau agak terkilan kerana mendapati lebih 50 peratus daripada 1 ribu ekar tanah yang disewakan kepada pengusaha ubi keledek, tidak diurus secara sistematik dan berharap ia tidak berulang.

Pada tahun ini, penanaman ubi keledek di Ladang Sungai Balankan, Sepang menjana pengeluaran sebanyak 660 metrik tan pada musim pertama tuaian dan menghasilkan pendapatan 396 ribu semusim.

Bagi musin kedua, ladang ubi kayu kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) ini menghasilkan pengeluaran 880 metrik tan dan menghasilkan pendapatan sejumlah 528 ribu.

Projek penanaman ubi kayu ini adalah usaha meningkatkan hasil pengeluaran makanan di Selangor.

“Ini memberikan satu contoh bagaimana industri kecil dan sederhana dapat dibangunkan dan diambilkira untuk pemprosesan makanan negara di negara kita.

Saya rasakan kerajaan negeri Selangor dan pentadbirannya akan bekerja keras untuk meningkatkan lagi produktiviti penggunaan tanah supaya program pertanian untuk mengeluarkan makanan dipertingkatkan.

“Ini merupakan satu program yang kita ingin berusaha mengurangkan kita punya permintaan dari luar negeri atau pun yang dipanggil mengurangkan kebergantungan kepada import makanan,” katanya ketika membuat lawatan kerja ke projek ubi kayu PKPS di Ladang Sungai Balankan, Sepang.

Beliau meminta pengusaha ubi keledek tidak memandang remeh dan mahu tanah yang disewakan kepada mereka digunakan secara maksimum.

“Saya akan meminta Tuan Pegawai Daerah untuk memantau siapakah yang memiliki tanah dan mencari jalan sama ada tanah tersebut dapat diambil semula atau digabungkan supaya ia dapat diusahakan secara lebih produktif.

“Kita tidak mahu program-program tanah ini berakhir dengan tanah terbiar,” katanya.

Tiada ulasan: