Oleh Wee Ka Siong
Ini bukan masanya saling menuding jari, selepas kekalahan Barisan Nasional dalam PRK Sibu. Kita seharusnya mencari jalan keluar, memahami apa sebenarnya yang tidak disenangi komuniti Cina.
Sebagaimana yang pernah saya katakan, bergiat di kawasan pengundian hanya pada pilihan raya kecil, kononnya berjabat tangan dan menjamu selera bersama..., kesemua ini tidak akan memahamkan kita secara mendalam tentang minda pengundi. Pada hakikatnya, sikap yang adil dan saksama dalam operasi pentadbiran kerajaan harian adalah satu-satunya langkah untuk mengembalikan sokongan rakyat.
Pengundi merestui usaha Perdana Menteri Najib Razak. Namun, sistem lama yang tidak berubah, ketidaktelusan dasar yang mengakibatkan rakyat masih bersikap berselindung terhadap BN.
Peruntukan yang besar kepada sekolah pada saat-saat terakhir tidak mendatangkan kesan yang besar. Apa yang rakyat ingin lihat adalah bantuan kerajaan dalam masalah perbelanjaan yang tertunggak selama ini, misalnya keperluan meja dan kerusi, bayaran bil air dan elektrik. Peruntukan yang terjamin secara sistematik lebih penting daripada segala-galanya.
Saya turut tidak bersetuju apabila parti komponen BN saling menuding jari selepas PRK atau PRU melabuh tirai. Seandainya kita masih terbelenggu pada tahap saling menuduh atau mempersalahkan pengundi, ia akan mengundang malapetaka yang lebih besar. Daripada saling menuduh di kalangan parti komponen BN, lebih baik kita bersatu-padu dan melaksanakan perubahan yang lebih besar.
Biar kita mengenalpasti realiti, mengkaji keputusan pilihan raya dengan serius, barulah kita boleh mengubati penyakitnya. Kalau kita hanya melepaskan tanggungjawab kepada pengundi, maka kemenangan akan semakin menjauhi kita. Kita perlu mencari punca masalah kita, barulah masalah kita ditangani dengan sebaik-baiknya.
Rakyat sebenarnya berasa mual dengan PERKASA. Seandainya BN tidak dapat memisahkan hubungannya dengan PERKASA dalam isu ini, ia akan memberi persepsi bahawa BN ada hubung kait dengan PERKASA sungguhpun pemimpin BN tidak menyertai pertubuhan tersebut. Maka, ia akan menjejaskan BN.
Jelas, seandainya BN masih ada sangkut-paut dalam hubungannya dengan PERKASA, maka rakyat akan lebih membenci kerajaan ini.
Kerajaan BN harus sedar, orang Cina bukan tamak atau tidak tahu mengenang budi sebagaimana yang disifatkan PERKASA. Orang Cina bukan mahu menjadi Super-Tuan negara ini, atau penentu nasib negara ini. Sebaliknya, orang Cina mahu melihat sebuah negara yang adil dan saksama, satu kerajaan yang berintegriti.
Orang Cina tidak pernah membantah pentadbiran yang baik oleh kerajaan, tidak membantah bantuan oleh kerajaan kepada golongan miskin, tidak kira sama ada orang itu berketurunan Melayu, Cina, India atau bumiputera Sarawak. Seandainya kemiskinan itu ke tahap di mana seekor ikan kembong perlu dikongsi oleh lima orang, orang Cina tidak akan sama sekali membantah kerajaan memberi bantuan agar mereka memakan lebih seekor ikan.
Apa yang diingini orang Cina hanyalah kesaksamaan, integriti dan keadilan. Dan ini satu-satunya pendekatan untuk mengembalikan sokongan Cina. BN perlu jelas dalam hal ini. Kalau tidak, kuasa kerajaan BN akan terlepas dari genggaman seandainya kehilangan sokongan orang Cina.
*Wee Ka Siong ialah Ketua Pemuda MCA merangkap Timbalan Menteri Pelajaran. Tulisan ini dipetik dan diterjemah daripada blognya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan