Khamis, 15 April 2010

Zaid Yakin Hulu Selangor Berpotensi Untuk Pelbagai Pembangunan

TV SELANGOR

SHAH ALAM : Calon Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim menegaskan iltizam beliau menangani masalah seperti kemiskinan, pengangguran dan penafian hak peneroka Felda dan penduduk orang Asal di Hulu Selangor.

Masalah itu berlarutan sekian lama walaupun Hulu Selangor menjadi kubu kuat Umno-Barisan Nasional (BN) sekian lama dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen berkenaan masih dipegang oleh Umno-BN.

Zaid menyifatkan Parlimen Hulu Selangor sebagai kawasan yang berdaya maju dan berpotensi dibangunkan khususnya dari aspek ekonomi dan pembangunan kepada rakyat lantaran kegagalan Umno BN memerintah.

"Jadi, potensinya ada untuk bawa industri, pembangunan dan pelaburan yang lebih kerana kawasannya luas, peluangnya banyak. Cuma, kita hendak cari pemimpin yang pandai ekplotasi kelebihan ini. Kita mahu pemimpin yang bawa pembangunan kepada Hulu Selangor," katanya.

Di sebalik potensi itu, Zaid menyedari pelbagai masalah yang melanda Hulu Selangor dan gagal dirungkai sepanjang lebih 50 tahun pentadbiran Barisan Nasional dan bertekad mengubah senario itu.

"Pada saya, Hulu Selangor adalah tempat yang penuh potensi. Adalah tanggungjawab saya supaya kerajaan negeri dan kerajaan pusat serta agensi lain supaya memberi perhatian yang wajar. Itu harapan saya.

"Di Hulu Selangor, masih banyak ruang untuk berbakti. Soal kemiskinan, masalah felda telah 30 tahun berlarutan, masalah estet orang India," kata bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Zaid menyifatkan masalah yang menghimpit penduduk Hulu Selangor melibatkan isu nasional yang diabai Barisan Nasional lantaran berpaksikan pemborosan, salah guna dana awam dan penyelewengan kuasa untuk memperkayakan segelintir pihak.

"Isu Hulu Selangor secocok dengan perjuangan Pakatan Rakyat, kita hendak bela rakyat, bukan korparat," katanya dengan tegas.

Pun begitu, Zaid akur betapa beliau menghadapi saingan sengit dalam usaha mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Selangor.

"Kerusi P94 bukan kerusi mudah. Tiga DUN, BN yang menang. Tapi, bila keputusan dibuat oleh parti, mungkin saya ada peluang baik untuk menang," katanya.

Tiada ulasan: