Khamis, 8 April 2010

Usah tabur janji, selesai dulu masalah SJKT Bukit Darah

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS mendesak Kementerian Pelajaran yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelesaikan masalah sekolah SJKT Bukit Darah, Sungai Buloh terlebih dahulu sebelum menabur janji di kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) berkata, sekolah yang begitu dhaif dengan bumbung bocor dan struktur bangunan yang merbahaya kepada pelajar perlu diselesaikan segera pihak kementerian.

Menurut laporan media versi internet pada 6 April lepas, Guru Besar SJKT Bukit Darah, A. Rajendra Devi berkata dia mula mengenalpasti keadaan itu sejak memulakan tugas di situ pada tahun 2006.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja dihadapi murid-murid tetapi juga guru-guru kerana setiap kali musim hujan begitu membimbangkan.

Beliau mengakui agak terkejut dengan maklum balas yang diterima bahawa peruntukan RM150,000 untuk sekolah berkenaan telah habis digunakan.

“ Apakah pihak kerajaan Umno/BN akan memperbaiki apabila ada pilihan raya kecil sahaja?” tanya Idris dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, pemimpin Umno menjadi buta mata apabila tidak ada pilhan raya kecil tetapi celik hanya apabila ada pilihan raya, malah ada bangunan sampai berkali-kali dirasmi sempena kempen pilhan raya.

Justeru, beliau mengharapkan pemimpin Umno jangan menambahkan senarai janji yang bakal tidak ditunaikan kepada rakyat dalam setiap kali pilihan raya kecil.

Tambahnya, walaupun peruntukan sudah diluluskan sebanyak RM150 ribu di SRKT itu, namun tidak ada apa-apa perubahan fizikal yang dibuat.

PAS, katanya meminta supaya satu siasatan mesti dibuat untuk menyiasat perkara itu dan pihak SPRM mesti bertindak untuk menyiasat laporan mengenai peruntukan wang sudah diluluskan tetapi projek tidak berjalan dan wang sudah habis.

“PAS menasihat pemimpin Umno/BN usahlah berjanji banyak sangat dalam pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor ini. Jangan menambahkan senarai pembohongan dan janji kosong dalam setiap kali pilihan raya,” ujarnya.

Katanya, kalau SJKT yang sudah lama pun tidak terbela bagaimana pula Muhyiddin boleh berjanji untuk mendirikan empat sekolah baru di kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Beliau juga mengharapkan semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor sekali lagi bangkit menolak calon BN, supaya tercatat lagi satu sejarah keberanian pengundi di kawasan itu yang akan menjadi guru politik di negara ini.

“Melalui bahasa undi sahaja pemimpin yang rakus ini boleh faham, mereka tidak faham dengan undang-undang, tidak faham dengan dialog ilmiah, tidak faham dengan teguran di parlimen tetapi akan faham dengan bahasa undi,” ujarnya.

Tiada ulasan: