Ahad, 18 April 2010

Umno-BN Guna Cukai Judi Untuk Pendidikan

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR - Tindakan kerajaan menggunakan cukai perjudian untuk menampung sektor pendidikan negara ini membuktikan Umno-Barisan Nasional mengenepikan sensitiviti masyarakat Melayu dinegara ini dan juga kaum lain dalam soal perjudian.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata tindakan itu menunjukkan kerajaan Umno-BN tidak kenal sifat dan peduli soal keberkatan dalam kehidupan masyarakat dan negara serta tidak mengambil berat tentang isu halal dan haram.

"Saya lihat bahawa kerajaan Umno sudah sampai kepada kedudukan kewangan yang sangat kritikal apabila mereka terpaksa memperbanyakkan cabutan khas perjudian untuk membiayai pengurusan kebajikan dan juga pendidikan khususnya.

"Bagi saya keadaan yang sangat terdesak ini menyebabkan kerajaan sekaligus terpaksa memberi galakan skim perjudian sekaligus menggunakan perjudian ini atas alasan pendidikan.

"Isu ini bukan kerana ia bidang pendidikan tetapi keadaan sangat terdesak sehingga kerajaan terpaksa menggunakan mekanisma perjudian untuk mengurus negara.

"Saya rasa lebih baik kerajaan menguruskan pusat perjudian dari mengurus negara ini kerana tindakan mereka tidak pernah mengambil berat soal perjudian dan juga tentangan yang kita berikan malah mereka semakin galak mengadakan lebih banyak cabutan khas agar cukai judi dapat dikutip dengan lebih banyak," jelas Mahfuz di lobi Parlimen Rabu lalu.

Beliau juga menekankan kerajaan sepatutnya peka bahawa sumber dari judi adalah haram dan tidak boleh dipandang rendah.

"Kerajaan patut tahu sumber dari judi inilah membuatkan negara kita ini tak mendapat keberkatan selain kesan secara tidak langsung dari sumber tersebut menyebabkan gejala sosial yang meningkat begitu juga jenayah.

"Bila cukai perjudian ini digunakan untuk pendidikan menyebabkan anak-anak kita yang belajar tidak akan mendapat apa yang mereka mahukan selain tidak mendapat berkat. Kita umat Islam perlu tegas dalam hal sedemikian," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: