Selasa, 13 April 2010

Ugut Pukul Ipoh Barat, Pasir Salak Diberi Amaran Keras

Oleh Fazli Othman


KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Rakyat hari ini memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berhubung dakwaan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran bahawa beliau diugut untuk dipukul oleh wakil rakyat Barisan Nasional itu.

Menurut Kulasegaran Speaker telah memanggil kedua-dua mereka pagi semalam untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai insiden di berlaku di lobi Parlimen semasa sidang Dewan Khamis lalu.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan untuk tidak merujuk Tajuddin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tetapi memberi amaran keras supaya tidak mengulangi perkara tersebut.

"Pada Khamis lepas, lebih kurang jam 11.20 pagi, Ahli Parlimen Pasir Salak datang berjumpa saya di lobi Parlimen, beliau mengatakan saya membuat fitnah terhadap beliau di blog saya seterusnya mendakwa saya telah merosakkan nama baik beliau, beliau kemudian menggugut akan menumbuk saya dan menghantar orang ke kawasan saya untuk memukul saya.

"Saya serta-merta terus merujuk kepada Speaker Dewan di bawah Peraturan Mesyuarat 26 (1P).

"Saya telah mengatakan pada Tajudin bahawa saya dipilih oleh masyarakat untuk membawa pandangan dan isu mereka ke Dewan Rakyat dan bukannya berlawan fizikal dengan Ahli Parlimen yang lain dan saya mengaku saya pun tidak boleh lawanlah," kata Kulasegaran kepada Suara Keadilan semasa ditemui di lobi Parlimen.


Tiada ulasan: