Ahad, 4 April 2010

Ubat selesema rupanya steroids

SINAR HRIAN ONLINE


PETALING JAYA - Ubat jenis sembur dari China yang dipercayai berkesan melegakan selesema dan resdung rupa-rupanya mengandungi dadah jenis steroids.

Perkara itu dibongkar Penguatkuasa Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan yang bertindak merampas hampir 15,000 botol ubat berkenaan dalam satu serbuan di ibu pejabat syarikat pengedarnya di Bandar Sunway Petaling Jaya, semalam.

Rampasan itu dipercayai bernilai hampir RM1 juta.

Serbuan bermula pada jam 11.30 pagi itu diketuai Timbalan Pengarahnya, Wan Hamid Wan Ibrahim bersama 15 anggota dan pegawai.

Wan hamid berkata, walaupun produk terbabit sebelumnya didaftarkan secara sah dengan Kementerian Kesihatan, namun ujian terbaru mendapati ia mengandungi dexamethasone iaitu steroid.

“Ujian dilakukan di dua makmal berasingan iaitu Makmal Jabatan Kimia Terengganu dan Makmal Forensik Bahagian Pengkuatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan.

“Siasatan awal mendapati, ubat ini dijual di kedai-kedai ubat seluruh negara dan mendapat sambutan orang ramai berikutan kadar keberkesanannya yang segera setelah menggunakannya,” katanya.

Menurutnya, steroid merupakan pilihan terakhir kepada doktor sebagai ubat kepada pesakit dalam perubatan moden.

Namun, penggunaannya tanpa kawalan dan nasihat serta arahan doktor boleh membawa kepada kesan sampingan termasuk sembap, kemurungan dan alahan.

Tiada ulasan: