Isnin, 12 April 2010

MB: Tabur Janji, Gimik Politik Bukan Resmi Pakatan Rakyat

TV SELANGOR

HULU SELANGOR : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan perbuatan menabur janji dan gimik politik bukan resmi Pakatan Rakyat.

Berbeza dari budaya politik sebelum ini, Tan Sri Khalid menegaskan pentadbiran Pakatan Rakyat adalah pentadbiran berasaskan keputusan dan pencapaian.

Khalid berkata rakyat menjadi hakim kepada pelbagai dasar dan program berorientasikan kebajikan rakyat yang dirintis Pakatan Rakyat.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, kerajaan Selangor memperkenal Skim Air Percuma 20 Meter Padu, Skim Tabung Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas dan Program Mikrokredit dan sebagainya tanpa menjaja janji-janji muluk ke sana-sini.

"Kita tidak janji, kita buat. Kita tak janji air percuma, kita bagi. Kita tak janji dapat duit masuk universiti, kita buat," katanya yang menegaskan pembanganun masyarakat lebih utama dari mencanang gimik.

Khalid turut mempersoalkan mengapa pimpinan Umno-BN terus-menerus menafikan manfaat agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diusahakan Pakatan Rakyat sejak dua tahun lalu.

Beliau menjelaskan bahawa seorang pemimpin politik yang bijaksana seharusnya menyambut dasar yang membantu mengangkat kualiti kehidupan rakyat.

Antara yang mengundang kritikan pimpinan Umno-BN adalah penyerahan hak pemilikan tanah kepada lebih 100,000 permastautin yang menduduki tanah kerajaan negeri selama 15 tahun.

Mengulas lebih lanjut, Khalid berkata masalah yang berlarutan berpuluh-tahun itu berjaya diselesaikan dengan baik oleh kerajaan negeri dalam masa sesingkat dua tahun sahaja tanpa mengira faktor kaum.

Tiada ulasan: