Sabtu, 3 April 2010

Tol Naik Hingga 60 Peratus?

Oleh Rusnizam Mahat


Tidak cukup membebankan rakyat, kerajaan Barisan Nasional dijangka akan mengumumkan kadar kenaikan tol di beberapa lebuhraya di seluruh negara dalam masa terdekat.

Ini kerana Peringkat pertama kajian penstrukturan semula kadar tol lebuh raya telah selesai.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) kini dalam proses perbincangan dengan pelbagai pihak di peringkat kerajaan serta syarikat konsesi lebuh raya berhubung perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata baru-baru ini, kerajaan sedang mencari kaedah bagi memastikan penstrukturan semula kadar tol itu tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

"Objektif kerajaan adalah untuk mengurangkan subsidi kerana ketika ini subsidi telah menjadi jumlah yang besar dan pada masa yang sama kita mahu memastikan ia tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah," katanya seperti yang dilapor media minggu lalu.

Keputusan terbaru ini mengukuhkan kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua yang menjangka bahawa kerajaan akan mengumumkan peningkatan kadar tol sebanyak 10 peratus hingga 60 peratus dalam waktu terdekat.

"Perdana Menteri dan Timbalannya mungkin akan mengumumkan bahawa kenaikan tol dalam masa terdekat. Tol yang terlibat termasuk tol Sprint, Kerinchi Link, Lebuh raya Utara Selatan dan mungkin termasuk Jambatan Pulau Pinang.

"Semua tol ini meningkat sebanyak 10 peratus hingga 60 peratus tambahan kadar tol. Ini menunjukkan bahawa konsesi-konsesi tol yang ditawarkan oleh kerajaan kepada syarikat konsesi ini memang tidak adil sebab tidak ada tempoh yang mapan," katanya.

Menurut Tony Phua, kenaikan tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) contohnya telah ditangguhkan beberapa kali memandangkan kerajaan terpaksa menunggu masa yang sesuai sejak pilihan raya umum lalu. Tambah beliau, tahun lalu sahaja kerajaan membayar RM850 juta kepada Plus sebagai pampasan.

"Semasa konsesi ini diberikan kepada syarikat-syarikat ini, kepentingan rakyat tidak didahulukan, walaupun pada awalnya kadar tol masih rendah, tetapi setiap tahun kita nampak Plus dapat meningkatkan keuntungan sehingga 10 peratus iaitu RM1.5 bilion pada tahun lalu," ujarnya.

Menurutnya lagi, keadaan ini akan berterusan sehingga 2039 sedangkan kerajaan berupaya membebaskan tol dari syarikat konsesi dalam masa tujuh tahun. Justeru, beliau menggesa kerajaan supaya mengambil langkah untuk mengambil alih sistem tol di Malaysia yang membebankan rakyat.

"Banyak tol ini kita dapat beli balik dengan harga yang lebih rendah sebab dalam perjanjian, diperuntukkan bahawa kerajaan boleh membeli balik tol dengan kadar kos pembinaan dicampur keuntungan yang minimal bagi pihak konsesi.

"Dalam pengiraan kita mengikut kadar yang dibuat sekarang oleh pihak pengguna, wang dari peruntukan tol dapat membayar balik semua pembiayaan kerajaan dalam masa tujuh tahun dan selepas itu lebuhraya-lebuhraya ini sebenarnya dapat dibebaskan dari cengkaman tol," katanya.

Tiada ulasan: