Isnin, 12 April 2010

Tiada Perbalahan Dalam MIC Tentukan Calon


PETALING JAYA: MIC menafikan wujudnya perbalahan pendapat di peringkat tertinggi parti itu berhubung pemilihan calon terbaik bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Ketua Penerangannya, P. Kamalanathan berkata, perbezaan pendapat yang disuarakan oleh sesetengah kepimpinan parti itu tidak mencerminkan pendirian sebenar MIC.

"Dalam politik adalah perkara biasa kalau kita ada pendapat yang berbeza-beza, tapi itu tak bermakna wujudnya perbalahan.

"Saya menghormati kepelbagaian pandangan kerana masing-masing ada hak untuk berbuat demikian, tapi ia kadang-kala tidak membawa maksud sebenar pendirian parti," katanya kepada mStar Online di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, K. P Samy bahawa Timbalan Ketua Pemuda, V. Mugilan merupakan calon terbaik untuk mewakili BN.

Menurut Samy, Mugilan yang merupakan anak tempatan Hulu Selangor dilihat lebih sesuai kerana mempunyai sokongan padu akar umbi parti komponen BN di Parlimen itu khususnya Umno.

Bagaimanapun tegas Kamalanathan, pengumuman Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang mengemukakan hanya satu nama kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai calon merupakan pendirian sebenar parti itu.

"Parti hanya mengemukakan satu nama iaitu, Datuk G. Palanivel, itu adalah pendirian MIC," katanya.

Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC pernah menyandang kerusi Parlimen itu selama tiga penggal namun tewas tipis dengan 198 undi kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad.

Mengulas mengenai penerimaan pengundi di kawasan Parlimen berkenaan, Kamalanathan berkata, beliau amat berterima kasih kepada penduduk tempatan yang menunjukkan sokongan padu kepada BN khususnya MIC.

"Akar umbi menunjukkan sokongan yang begitu baik sekali, tak kira apa jua kaum, mereka menunjukkan minat dan keyakinan terhadap kerajaan BN," katanya.

Tiada ulasan: