Selasa, 13 April 2010

TERKINI: Lawatan Ke Luar Negara Tidak Digalak, Guna IT Untuk Teroka Pengetahuan

TV SELANGOR

SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menggalakkan pegawai kerajaan di negeri ini untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke luar negara bagi mengelakkan unsur penyelewangan dan pembaziran.

Menjawab pertanyaan lisan pada sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, beliau menegaskan lebih baik melakukan lawatan kerja berbanding lawatan sambil belajar kerana dibimbangi peruntukan kerajaan negeri, disalah guna.

“Adakalanya mereka yang mengadakan lawatan membawa rakan-rakan dari kakitangan kerajaan dan ahli-ahli politik. Alasan yang digunakan adalah untuk sambil belajar, ini tidak memberi kesan positif kepada lawatan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid mencadangkan supaya menggantikan lawatan sambil belajar dengan mengguna pakai pendekatan lain terutama melalui penggunaan teknologi komunikasi, umpamanya membuat sidang video bagi menerokai pengetahuan dan maklumat.

Beliau menasihati mana-mana pegawai kerajaan negeri yang mahu mengadakan lawatan sambil belajar, harus menggunakan perbelanjaan sendiri dan bukannya menggunakan peruntukan kerajaan negeri.


Tiada ulasan: