Selasa, 27 April 2010

Tengku Adnan: Umno mungkin gantung ‘sementara’ bekas calon Bebas

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR — Umno belum pasti bentuk tindakan yang akan diambil ke atas Exco Pemuda Umno Shah Alam, Johan Md Diah yang menjadi calon Bebas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor tetapi menarik diri kemudian.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa pengurusan dalam waktu terdekat.

“Tapi kita akan bincangkan di peringkat jawatankuasa pengurusan dulu,” kata beliau ketika ditemui pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor berakhir semalam dengan Barisan Nasional (BN) merampas semula bahagian itu daripada Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun beliau berkata kemungkinan Umno akan mempertimbangkan hukuman “menggantung keahlian buat sementara” atas alasan Johan mengemukakan borang penamaan calon yang dilihat bertentangan dengan kepentingan parti.

Umno Hulu Selangor dilapor menuntut agar kerusi Hulu Selangor diserahkan semula kepada Umno untuk meletakkan calon mereka.

Bagaimanapun pucuk kepimpinan BN memutuskan untuk terus meletakkan wakil MIC bertanding.

Johan berkata dia memutuskan untuk bertanding demi orang Melayu.

Tetapi beliau menarik diri tiga jam selepas melancarkan jentera pilihan rayanya Selasa lalu.

Pada hari penamaan calon, Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh memberitahu The Malaysian Insider bahawa Johan yang bertanding pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sebagai calon Bebas akan tergugur keahlian dari parti itu.

“Sah, dipecat,” katanya.

Ikut perlembagaan parti sesiapa yang bertanding sebagai calon Bebas ataupun menyokong calon lawan boleh dipecat dari parti.

Johan, 31, merupakan salah seorang daripada empat calon yang bertanding pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor.

Seorang calon Bebas ialah V.S. Chandran, bekas timbalan ketua MIC Hulu Selangor, yang turut menarik diri daripada bertanding.

MIC juga telah menggugurkan hukuman gantung keahlian yang dikenakan ke atasnya sebaik sahaja beliau menarik diri daripada bertanding.

Mengenai kehadiran anak bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba di pentas PKR bersama Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu pula, Tengku Adnan berkata, tindakan akan diambil ke atas beliau.

Katanya, Tamrin tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

Bagaimanapun kata Tengku Adnan terserah kepada jawatankuasa pengurusan untuk mengambil tindakan yang difikirkan sesuai ke atasnya.

Tamrin muncul pada ceramah perdana Pakatan Rakyat di Felda Sungai Buaya.

Tamrin tidak berceramah sebaliknya duduk di atas pentas bersama pemimpin lain gabungan pembangkang.

Bagaimanapun, kehadirannya dilihat cuba digunakan sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat apabila Anwar sendiri memperkenal dan memuji kehadiran Tamrin bagi “bersama-sama” mereka dalam ucapannya.

“Ini kawan lama waktu kami dalam Umno dulu… waktu (dalam Umno) dulu-dulu,” kata Anwar dipetik media minggu lalu.

Tiada ulasan: