Sabtu, 3 April 2010

Talian Hayat Umno-BN Sekat Portal Pro-Pakatan Rakyat

Oleh Norasikin Samsi


Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menceroboh laman web Pahangkini.net.

Menurut beliau, perbuatan khianat seperti ini lazimnya didalangi oleh pimpinan tertinggi kerajaan Barisan Nasional bertujuan bagi mengekang pengaliran maklumat dari blog dan laman web pro-Pakatan Rakyat daripada disampaikan kepada rakyat.

"Tindakan ini dipercayai berpunca daripada rasa tidak senang mereka (pemimpin Umno-BN) terhadap kesungguhan Pahangkini.net yang membongkar dan mendedahkan berita-berita berani, telus, bebas dan berintegriti, termasuklah mengkritik dasar kerajaan Umno-BN," katanya.

Beliau juga menyifatkan pemerintahan BN sebagai 'tempang' kerana melanggar Perlembagaan Negara yang antara lain terkandung di dalamnya mengenai kebebasan media untuk menyampaikan maklumat.

"Cara ini bertentangan dengan apa yang dilaungkan pemimpin negara, malah langkah yang diambil dengan jelas menunjukkan mereka ini terlalu takut berhadapan gelombang rakyat yang menuntut perubahan mutlak berlaku dalam institusi pentadbiran negara.

"Rakyat berhak untuk mendapatkan saluran media yang telus dan mendedahkan maklumat apa yang berlaku dalam negara.

Mereka tidak mempunyai pilihan lain selain mengakses media pembangkang kerana mereka bukannya bodoh untuk mengikut telunjuk Umno-BN yang berterusan menipu rakyat dan sudah pasti cara ini menambah sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

"Sebab ini jugalah menjadikan portal-portal yang memihak kepada Pakatan Rakyat menjadi tumpuan utama pelayar internet, bahkan kita dapati sekarang bilangan pembaca media cetak terutamanya Utusan Malaysia semakin menurun dan tiada sambutan," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa tidak terkejut ke atas laporan pendedahan Suara Keadilan bilangan 221 bahawa erdapat usaha Umno yang dipercayai mengguna lebih RM300 juta dana awam untuk mengupah sekumpulan 300 penggodam komputer yang dibawa khas dari India.

"Saya memang percaya kerana cara ini merupakan talian hayat bagi menyekat rakyat memperoleh informasi yang tepat kerana sebelum ini berapa banyak penyelewengan yang dibuat Umno-BN dengan menggunakan dana awam untuk menutup kesalahan yang dibuat. Saya juga tidak hairan apabila selepas ini ada banyak lagi laman web pro-Pakatan yang mendapat nasib serupa," katanya.


Tiada ulasan: