Isnin, 12 April 2010

Syarat MB Selangor Beri Peruntukan Terus Kepada ADUN BN

BERNAMA

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedia memberi peruntukan terus kepada Anggota Dewan Undangan Negeri itu daripada Barisan Nasional hanya jika kerajaan pusat memberikan peruntukan terus kepada wakil rakyat daripada pakatan pembangkang, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"(Jika) hari ini kerajaan persekutuan membuat pengumuman (beri peruntukan terus kepada wakil rakyat pembangkang), esok kerajaan negeri akan membuat pengumuman (beri peruntukan kepada Adun BN) tersebut," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah perasmian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan kerajaan Selangor memastikan semua Adun mendapat peruntukan yang sesuai agar mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Abdul Khalid berkata setiap Anggota Parlimen BN kini menerima peruntukan RM1 juta setahun tetapi beliau selaku Anggota Parlimen Bandar Tun Razak daripada Parti Keadilan Rakyat tidak mendapat peruntukan untuk kawasan Parlimen beliau wakili, sebaliknya wang itu disalurkan terus kepada Ketua Bahagian Umno di kawasan itu.

Beliau berkata bahawa berdasarkan contoh itu, kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh pakatan PKR, DAP dan Pas, memberikan peruntukan RM500,000 setahun kepada ADUN daripada pakatan tiga parti itu manakala bagi kawasan yang dikuasai BN, peruntukan itu dipegang oleh Anggota Exco Kerajaan Negeri yang dilantik sebagai "bapa angkat" kepada kawasan dewan undangan negeri berkenaan.

Tiada ulasan: