Selasa, 13 April 2010

Syarat 15 tahun layak miliki tanah

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR) memberi tumpuan utama terhadap penyelesaian masalah pemilikan tanah yang dianggap sekian lama membebani penduduk di daerah Kuala Kubu dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk memberikan tanah tapak perumahan kepada mereka yang layak.

Menurutnya, syarat utama yang ditetapkan bagi melayakkan seseorang memperoleh tanah adalah mereka yang bermastautin lebih 15 tahun di tempat tersebut.

“Kita akan berusaha memastikan setiap rakyat di negeri Selangor yang sekian lama hidup setinggan di tanah tersebut diberi kesempatan memiliki tanah.

“Melalui langkah ini kita akan dapat mengatasi dua masalah iaitu penempatan setinggan dan bebanan rakyat yang tidak mendapat tapak rumah.

“Tapi saya ingin ingatkan bahawa kita mahu mereka yang mendapat hak milik tanah ini adalah mereka yang sudah berada di tapak tersebut (pemastautin),” katanya.

Khalid berkata, Kerajaan Negeri juga sedang melihat dan memikirkan penyelesaian berhubung penggunaan tanah-tanah kerajaan yang sekarang diusahakan oleh petani-petani dengan kelulusan Lesen Menduduki Sementara (TOL).

Menurutnya, beberapa pertemuan dan perbincangan akan diadakan bersama petani dan pengusaha berkenaan bagi memastikan syarat TOL ditukar sama ada disewa dalam jangka panjang atau pemberian geran tanah.

Beliau turut memberitahu, Kerajaan Negeri juga perlu memikirkan berhubung premium atau bayaran kepada negeri untuk pemilikan tanah tersebut.

“Tetapi apa yang jelas Kerajaan Negeri bersedia untuk memberikan tanah-tanah kediaman kepada rakyat Selangor (berdasarkan syarat dinyatakan).

“Jika mereka tidak mempunyai kediaman di atas tanah milik kerajaan, kita akan peruntukkan tanah itu kepada setinggan atau rakyat yang tidak mempunyai tanah,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, Kerajaan Negeri juga akan menyelesaikan beberapa masalah lain seperti rumah ibadat, tapak sekolah dan jalan-jalan yang masih belum ditetapkan sebagai jalan awam.

Tiada ulasan: