Isnin, 12 April 2010

SUPP Cawangan Sibu Cadang Robert Lau Hui Yew Sebagai Calon BN Untuk P/Raya Kecil

BERNAMA

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sibu mencadangkan seorang peguam berusia 45 tahun, Robert Lau Hui Yew, sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.

Pengerusinya, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata nama yang dicadangkan itu telah pun dikemukakan kepada presiden parti, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, untuk mendapatkan persetujuannya.

"Saya percaya Dr Chan akan mengumumkannya tidak lama lagi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Wong, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Negeri, berkata cawangan itu telah pun membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil itu berikutan kematian penyandangnya selama lima penggal yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew, Jumaat lepas di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Hui Yew, ketika ditanya sama ada beliau sedia untuk bertanding dalam pilihan raya itu jika diberi peluang, berkata: "Pada suatu ketika dalam hidup kita, jika keputusan telah dibuat, kita mungkin perlu menerimanya. Bagaimanapun lebih baik kita tunggu parti buat keputusan."

Hui Yew, yang menganggotai SUPP sejak 17 tahun lepas, merupakan sepupu kepada mendiang Robert Lau. Beliau adalah penolong bendahari cawangan berkenaan.

Bapa beliau, Lau Swee Nguong, adalah pengerusi syarikat KTS Group, yang berurusan dalam pembalakan, eksport balak, pengeluaran papan lapis, perladangan sawit dan perkapalan.

Menurut sumber, Hui Yew telah dididik sejak sekian lama oleh mendiang Lau untuk mengambil alih daripadanya dan turut terbabit dalam program pembangunan semula sekolah mubaligh di Sibu, yang dimulakan oleh mendiang Lau.

Tiada ulasan: