Jumaat, 9 April 2010

SPRM WAJAR DITUBUHKAN DI LAHAD DATU

AJAIB... Apa ertinya Papantanda ini kerana tidak menyebut Landswap sebaliknya projek kerajaan negeri. Kenapa tidak buka tender atau wartakan projek ini jika melibatkan landswap? Apa agenda di sebalik projek ini yang kelihatan seperti buluh kasap, hujung dapat pangkal lesap!

Oleh: SURIATI MAHMUD


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar ditubuhkan di Lahad Datu memandangkan kes rasuah berprofail tinggi semakin meningkat di Lahad Datu dan dalam masa yang sama diabaikan oleh Pejabat SPRM Tawau yang tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk memantau dan mencegah rasuah di Lahad Datu.

“Jika Jabatan Pertahanan Awam mampu menubuhkan cawangan di Lahad Datu, kenapa SPRM masih teragak-agak untuk mewujudkan cawangan di Lahad Datu kerana cawangan di Tawau langsung tidak memberikan sumbangan kepada gejala membanteras rasuah di Lahad Datu,” ujar Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Silam, Johani Abdul Halim.

Tegas Johani, Parlimen Silam terlalu luas yang menganjur daripada Kunak sehingga ke Tambisan mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri, namun Ahli Parlimen dan Adun BN bebas membelanjakan peruntukan dan rakus menyalahguna kuasa mereka terutama berhubung hak awam dan kepentingan kerajaan.

“Sebagai contoh, SPRM tidak pernah menyiasat bagaimana kes ‘Landswap’ yang berlaku di Lahad Datu. Sebelum ini, penduduk Kampung Sapadulang, di Segama, Lahad Datu telah dihalau kerana kerajaan memberikan tanah berkenaan kepada Fordeco Construction Sdn.Bhd yang telah membina bangunan Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak di Jalan Silam,” ujar Johani yang menerima banyak laporan daripada penduduk kampung dan pegawai kerajaan bahawa Landswap berkenaan dilakukan secara tidak teratur dan dicemari gejala rasuah.

Dalam kes terbaru kata Johani, SPRM harus menyiasat bagaimana tanah perumahan kerajaan yang bernilai tinggi yang terletak di hadapan Hospital Lama Lahad Datu diberikan kepada Ragam Yakin Sdn.Bhd sebagai ‘Landswap’ bagi projek pembinaan rumah kakitangan di Jalan Segama dan projek komersil.

“Amat menghairankan bagaimana Kerajaan Negeri Sabah tidak mempunyai wang untuk membina rumah kakitangan kerajaan sehingga terpaksa ‘berlutut’ di hadapan Ragam Yakin Sdn.Bhd dengan mempersembahkan tanah yang bernilai lebih RM200 juta bagi projek yang tidak sampai RM10 juta,” ujar Johani yang mendesak siasatan segera dilakukan kenapa projek berkenaan tidak diwartakan jika ia melalui jalan yang telus dan mengikut peraturan kerajaan.

Johani menegaskan, beliau terkejut dengan papantanda yang didirikan di belakang Taman CL, Lahad Datu yang memaparkan cadangan pengswastaan bagi pembangunan semula tanah kerajaan negeri secara komersil di Jalan Silam, Lahad Datu (Tanah A) dan pembinaan perumahan kakitangan kerajaan negeri di Jalan Segama, Lahad Datu (Tanah B) sebagai projek Projek Kerajaan Negeri Sabah yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerjaraya yang melantik Ragam Yakin Sdn.Bhd sebagai kontraktor.

Berdasarkan papantanda berkenaan, kata Johani, tarikh memiliki tapak 12 November 2008 dan tarikh projek dijangka siap 11 Mei 2011, namun Ragam Yakin Sdn.Bhd melalui syarikat subsidiarinya sudah mula membuka rumah yang masih diduduki kakitangan kerajaan.

“Mereka sepatutnya menyiapkan projek berkenaan sebelum membongkar rumah kakitangan awam yang sedia ada. Anehnya pihak polis hanya berdiam diri apabila pekerja Fordeco, Kwantas dan Ragam Yakin (syarikat subsidiari) menceroboh dan membongkar rumah kakitangan awam yang terpaksa dikosongkan atas arahan pihak tertentu,” tegas Johani yang akan menyerahkan laporan lengkap kepada Adun Pakatan Rakyat, Jimmy Wong untuk dibawa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah akan datang.

PELAN.... Johani menunjukkan pelan tanah kerajaan yang terlibat dengan Landswap terletak berdekatan Lapangan Terbang Lahad Datu berlatar belakangkan salah satu rumah yang dirobohkan sebelum rumah baru disiapkan.

SPRM, kata Johani, wajar menyiasat bagaimana kontrak Landswap berkenaan dilaksanakan kerana melibatkan ramai ahli politik dan menyifatkan kes ini sebagai kes berprofail tinggi kerana melibatkan Adun, Ahli Parlimen dan Ketua Menteri Sabah pada waktu kelulusan diberikan.

“Kita mendapat maklumat sejumlah wang diberikan kepada Adun, Ahli Parlimen dan Jawatankuasa Penggunaan Tanah serta Ketua Menteri dan kita akan berikan kerjasama jika SPRM ingin mendakwa mereka yang terlibat di mahkamah,” ujar Johani yang akan menjadikan isu ini sebagai salah satu kempen pilihanraya umum akan datang.

Mengikut semakan Sabahkini.net di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Kwan Chiew Giok (560917-12-5362), Kwan Ngen Wah (58022-12-5049) dan Suhaimi Mohd Isa (820204-12-5301) menjadi pengarah dan pemegang saham Ragam Yakin Sdn.Bhd yang mempunyai pejabat berdaftar di Tingkat 1, Bangunan Fordeco, Jalan Singgamata, Lahad Datu adalah subsidiari Kwantas Corporation Sdn.Bhd.

Dalam pada itu, seorang aktivis masyarakat, OKK Hassnar MP Ebrahim turut membidas tindakan zalim kerajaan BN merampas tanah adat penduduk kampung Sapadulang dan memberikannya kepada Fordeco adalah di luar perikemanusiaan.

“Kerajaan Negeri seharusnya berfikir dua kali sebelum memberikan sebarang tanah kepada keluarga Kwan kerana mereka adalah penjenayah anak negeri yang menggunakan Sijil Anak Negeri palsu untuk merampas tanah rakyat melalui jalan penipuan. Pemberian tanah ini kepada keluarga Kwan mengiktiraf segala salahlaku mereka selama ini dan merupakan satu kezaliman kepada rakyat Sabah,” ujar Hassnar yang bercadang untuk menganjurkan perhimpunan aman membantah pemberian tanah secara landswap terutama di kampung tradisi, tanah adat atau tanah kerajaan negeri atas permintaan mereka yang teraniaya.

Hassnar turut mempersoalkan apakah ini penanda aras konsep 1Malaysia yang mendahulukan rakyat untuk dikerjakan sektor korporat dan mengutamakan pencapaian bukan bumiputera dalam Model Ekonomi Baru!

Tiada ulasan: