Selasa, 13 April 2010

SPRM Mahu Pornthip Hadir, Keselamatan Dijamin

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap Pakar Patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand hadir memberi keterangan pada tarikh yang ditetapkan bagi membolehkan inkues kematian Teoh Beng Hock dapat diselesaikan segera.

Kehadirannya juga bagi memberi keadilan kepada keluarga mendiang dan suruhanjaya itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM hari ini, Dr Pornthip tidak perlu risau mengenai keselamatannya kerana kerajaan Malaysia termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia telah memberi jaminan ke atas keselamatannya sepanjang kes perbicaraan tersebut.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien berkata, kementeriannya akan menyiasat dakwaan pakar patologi Thailand itu berhubung dakwaan kononnya beliau menerima tekanan pihak tertentu supaya menarik diri daripada inkues Beng Hock.

Hishamuddin bagaimanapun menegaskan, Pornthip perlu mengemukakan bukti lengkap kepada KDN berhubung dakwaannya itu.

Kelmarin, sebuah portal berita dalam artikelnya mendedahkan pakar patologi itu tidak akan hadir memberi keterangan dalam inkues mendiang Teoh Beng Hock pada 20 April ini kerana menerima 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia.

Beliau dipetik bercakap dengan portal berita itu menyatakan Kementerian Kehakiman negaranya menerima maklumat daripada Kementerian Luar Thailand bahawa Dr. Pornthip akan menghadapi masalah sekiranya datang ke Malaysia termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Tiada ulasan: