Khamis, 22 April 2010

SPRM Akan Pastikan Hukuman Berat Bagi Kesalahan Jenayah Rasuah

BERNAMA

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan mahkamah menjatuhkan hukuman yang sekeras-kerasnya kepada pesalah rasuah sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull berkata perkara itu akan dilakukan menerusi perbincangan SPRM dan pihak timbalan pendakwa raya (DPP) yang akan diminta menjelaskan kewajaran hukuman berat kepada hakim semasa kes rasuah dibicarakan.

"Ini kerana kesan jenayah rasuah amat serius dan boleh merosakkan nama negara," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau berkata sehingga kini hukuman paling lama dikenakan ialah penjara lapan tahun dan tempoh itu tidak sampai separuh daripada hukuman maksima yang ditetapkan.

Mohd Shukri berkata demikian sebagai mengulas laporan media baru-baru ini mengenai kenyataan seorang hakim kanan bahawa DPP perlu menekankan keseriusan dalam setiap kes rasuah dan memohon hukuman berat dikenakan dengan memetik peruntukan undang-undang di hadapan hakim.

Mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009 mereka yang disabitkan kesalahan jenayah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu mengulas mengenai kegiatan rasuah sepanjang kempen pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, Mohd Shukri berkata setakat ini tidak ada laporan rasmi diterima pihaknya.

"Tetapi jika ada biarlah laporan yang dibuat nanti mempunyai input dan asas bagi menyenangkan proses siasatan dijalankan," katanya.

Tiada ulasan: