Khamis, 15 April 2010

SPR umum tarikh pilian raya kecil Sibu pagi esok

MALAYSIA KINI



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan tarikh pilihan raya kecil parlimen Sibu, Sarawak selepas bermesyuarat di Shah Alam, esok.

Seperti lazimnya, SPR akan bermesyuarat di ibu pejabatnya di Shah Alam bermula jam 9 pagi dengan dipengerusikan oleh ketuanya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Mesyuarat itu bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Pilihan raya kecil berkenaan perlu diadakan selewat-lewatnya 8 Jun ini berikutan SPR perlu mengadakannya dalam tempoh 60 hari selepas kematian penyandang kerusi terbabit

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian ahli parlimennya yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hui Choi, minggu lalu.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

Tiada ulasan: