Rabu, 21 April 2010

SPR terus dipertikai kerana pindah pengundi

Dzulfikar Mashoor


HULU SELANGORl: Gara-gara lebih 50 pengundi dari Kampung Tanjong mengadu bahawa nama mereka tidak terdapat dalam Buku Daftar Pemilih mengakibatkan inisiatif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengubah nama pengundi Hulu Selangor ke Parlimen Selayang terus dibongkar.

Calon Pakatan Rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berkata, SPR seharusnya bersikap lebih adil dalam menguruskan pilihan raya kecil kali ini.

“Sebagai calon, saya harap SPR boleh bersikap lebih adil, sebab itu (Pakatan Rakyat) menyertai pilihan raya (kecil ini),” ujar Zaid di Pusat Informasi Media, Kuala Kubu Baru petang tadi.

Beliau yang juga Koordinator Pakatan Rakyat berkata, SPR sewajarnya bertindak pantas memindahkan semula para pengundi terbabit ke senarai asal dalam Buku Daftar Pemilih sebelum Hari Mengundi, Ahad ini.

Gesaan Zaid itu, termasuk membuka banyak kaunter SPR di sekitar Parlimen Hulu Selangor supaya para pengundi boleh membetulkan kesilapan teknikal yang dilakukan oleh SPR sendiri.

“Saya harap SPR bertindak, bukalah kaunter agar para pengundi dipindahkan semula ke tempat asal. Saya berharap suatu tindakan yang luar biasa,” ujarnya.

Sekiranya SPR gagal berbuat demikian sekali pun, bagi beliau, para penyokong Pakatan Rakyat dan pengundi sendiri tidak seharusnya berputus asa.

Sebaliknya, mereka diminta terus bekerja kuat agar amalan tidak demokratik sepanjang pilihan raya kali ini boleh diminimumkan.

“Saya harap, kita tidak berputus asa pada jalan yang salah,” ujar beliau.

Selain memberi isyarat yang jelas kepada SPR, beliau turut merayu kepada para pengundi terbabit supaya membantu SPR.

Bercakap pada sidang media yang sama, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh tidak menolak kemungkinan bahawa motif di sebalik pemindahan para pengundi terbabit adalah inisiatif strategik sempena pilihan raya kali ini.

Katanya, ini kerana berdasarkan pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, undi dari kampung tersebut majoritinya menyebelahi calon Pakatan Rakyat.

Selain menyalahkan SPR, beliau turut mempertikai Dewan Rakyat kerana menolak dua kali berturut-turut usulnya berhubung isu kelemahan SPR.

“Dua kali Parlimen menolak usul saya, SPR pula terus dalam penafian selepas saya mengeluarkan bukti,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Walaupun SPR dianggap cuba bersikap tidak demokratik dalam menguruskan pilihan raya kali ini, beliau berkata, jentera PKR akan membuka kaunter-kaunter untuk mengenal pasti para pengundi berbaki yang dipindahkan ke Kampung Tanjong.

Demi memudahkan mereka yang terbabit membuat sebarang aduan berkaitan SPR dan pilihan raya kecil P.094 Hulu Selangor, jentera PKR turut membuka talian perkhidmatan bebas, 019-3260874.

Pun begitu, dalam nada menyindir, beliau berkata inisiatif Pakatan Rakyat bukanlah disebabkan bersetuju dengan sikap tidak progresif SPR sendiri.

“Kita (seolah-olah) melakukan kerja-kerja SPR,” ujarnya.

Tuntas dari kes pemindahan pengundi tersebut, beliau mewakili Pakatan Rakyat mendesak para pemimpin tertinggi SPR supaya meletak jawatan sesegera mungkin, sekiranya masing-masing masih mempunyai maruah diri.

Tiada ulasan: