Isnin, 19 April 2010

SPR perjelas pemindahan pengundi Kpg Tanjung

Salhan K Ahmad



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan tuduhan bahawa suruhanjaya itu menjadi 'dalang dalam konspirasi' untuk memenangkan BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar hari ini menyifatkan tuduhan itu sebagai satu fitnah dan dakwaan palsu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan pengarah strategik PKR Tian Chua bahawa atas SPR telah memindahkan satu lokaliti mengundi dalam kawasan parlimen Hulu Selangor ke dalam kawasan Rawang.

Mengulas dakwaan itu, Wan Ahmad berkata, SPR bertindak demikian setelah menyedari bahawa lokaliti 228 pengundi Kampung Tanjung di Sungai Choh itu sepatutnya diletakkan di kawasan parlimen Selayang.

Ini bermakna mereka tidak boleh mengundi dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor pada 25 April depan.

"Apabila kita semak menggunakan pemetaan geografi berkomputer, barulah kita sedar bahawa daerah mengundi sebenarnya bukan di Hulu Selangor tetapi di Selayang," katanya dalam satu sidang media di pejabat tanah daerah Hulu Selangor hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menjelaskan dengan tepat bilakah SPR menyedari kesilapan kedudukan lokaliti tersebut.

Wan Ahmad berkata proses mengemaskini kawasan mengundi itu telah berjalan selepas pilihan raya umum ke-11.

Tambahnya, pemindahan lokaliti melibatkan seramai 228 pengundi itu, bukanlah dibuat semata-mata bagi menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Tegasnya, SPR berkuasa untuk menyemak kawasan mengundi seperti diperuntukkan dalam Seksyen 25 Peraturan Pendaftaran Pemilih 2002.

Wan Ahmad juga berkata jumlah pemilih seramai 63,593 orang bagi pilihan raya kecil ini, juga tidak terjejas dengan pemindahan lokaliti berkenaan kerana SPR menggunakan daftar pemilih yang dikemaskini sehingga kerusi dewan rakyat itu diisytiharkan kosong sebelum ini.

1 ulasan:

Tuk Ketuo berkata...

Jahanam la kau SPR bodoh