Jumaat, 23 April 2010

SPR Didesak Laksana Dakwat Kekal Pada PRU-13

Oleh Norasikin Adnan

KUALA LUMPUR - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya supaya lebih telus dan adil semasa pilihan raya.

Badan bukan kerajaan itu juga menggesa penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda, pemansuhan undi pos kecuali bagi ahli diplomat dan pengundi di luar negara, dan pembersihan senarai pemilih bagi memastikan nama yang tidak sepatutnya berada di dalam senarai pemilih dikeluarkan agar integriti sepenuhnya dilaksanakan.

"Pihak kami juga menuntut supaya semua pihak yang bertanding di dalam pilihan raya seharusnya diberikan akses yang sama rata di dalam media milik kerajaan, terutama sekali televisyen dan radio," kata Bersih dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Bersih dimaklumkan bahawa hampir 14,000 pengundi berdaftar di Parlimen Hulu Selangor telah dipindahkan ke pusat-pusat pengundian yang berbeza dengan pengundian yang ditetapkan semasa pilihan umum raya 2008.

Tempoh kempen yang singkat ini kelak akan menjurus kepada keadaan huru-hara di mana masa yang tidak mencukupi untuk memaklumkan kepada 14,000 pengundi berdaftar pada Ahad 25 April ini.

"Pengundi akan keluar membuang undi di pusat pengundian yang biasa dan kemudiannya mendapati nama mereka berada di pusat pengundian yang lain. Ini juga membawa kesusahan keada para pengundi yang kemudiannya terpaksa mencari pusat pengundian mereka yang baru.

"Kekeliruan ini juga akan menjadi masalah yang besar terutamanya kepada mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam iaitu warga tua yang akhirnya pulang ke rumah seterusnya tidak mengundi," kata badan itu.

Keadaan akan menjadi lebih kritikal bilamana Bersih dikejutkan dengan nasib 233 pengundi yang berpunca daripada SPR yang memindahkan mereka dari kawasan Hulu Selangor ke Selayang.

Sebarang persempadanan baru hanya boleh dibuat setiap 10 tahun berdasarkan kepada Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Selain hak SPR untuk membuat persempadanan semula, pengundi pula berhak untuk mengubah kawasan undian apabila berpindah. SPR tiada kuasa untuk memindahkan pengundi-pengundi ke kawasan lain sesuka hati. Ini bukanlah satu kesilapan yang boleh diambil ringan dan dimaafkan. Tindakan SPR merupakan pelanggaran kepada Perlembagaan Persekutuan. SPR telah melangkaui fungsi parlimen," tegas Bersih.

Bersih mengutuk tindakan yang dilakukan SPR di mana pengundi diasingkan dan diabaikan hak mereka untuk memilih wakil mereka di Parlimen. Perkara sebegini juga memincangkan amalan demokrasi di negara ini.

"Mereka sepatutnya mengutamakan rakyat tetapi tindakan-tindakan mereka ini telah menimbulkan banyak kerumitan. Mereka sepatutnya menyerlahkan pencapaian mereka. Tetapi mereka ternyata gagal dan mengecewakan," kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: