Khamis, 29 April 2010

Speaker: Adun PAS tidak Mempersoalkan Kuasa Sultan

6a7b8723b181f9323df4b14e430a1bb1 Oleh Qayum Rahman


Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail menjelaskan Adun PAS Kubang Rotan,Mohd Nasir Mustapa tidak mempersoalkan bidang kuasa Sultan Kedah.

Sebaliknya, beliau hanya mengemukakan soalan sejauh mana kuasa sultan sebagai ketua agama Islam dalam mentadbir negeri.

" Orang yang menyampaikan mengenai persoalan itu tiada dalam dewan negeri dan bagaimana pula boleh membuat andaian sesuka hati.

" Saya sendiri mendengar pertanyaan yang di keluarkan langsung tidak menyentuh mengenai bidang kuasa Sultan.

" Janganlah menyampaikan perkara yang tidak dipersoalkan kepada umum semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan negeri," jelasnya.

Dr Abdul Isa berkata demikian ketika ditanya adakah Mohd Nasir perlu menghadap sultan bagi memberi penjelasan mengenai tindakannya mengemukakan soalan berkenaan.

Menurut laporan media, Adun PAS Kubang Rotan itu semasa sidang dewan undangan negeri semalam mengemukakan dua soalan iaitu sejauh manakah bidang kuasa sultan di dalam negeri ini dihormati oleh kerajaan pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama islam.

Mengenai gesaan persatuan keturunan diraja Kedah supaya menteri besar Datuk Seri Azizan Razak membuat penjelasan kepada sultan berhubung isu yang ditimbulkan dalam persidangan tersebut, Dr Abdul Isa berkata, " Ini semua berlaku disebabkan ada pihak yang sengaja membuat provokasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Azizan Razak kerana bertentangan dengan perjuangan mereka."

Tambah beliau, dengan wujudnya golongan yang sengaja mengadakan kenyataan tidak benar, mereka bertanggapan akan memberi kesan buruk pada kepimpinan Azizan sebaliknya langsung tidak memberi kesan.

Beliau juga berkata, turut terjadi pertengkaran diantara BN dan kerajaan negeri berhubung isu persoalan bidang kuasa Sultan dan jelas kelihatan BN sengaja menggunakan isu tersebut sebagai bahan pertelingkahan untuk menekan kerajaan negeri dan pimpinan Azizan.

Pertengkaran ini jelas menunjukkan bahawa BN mengambil kesempatan memberi tekanan pada kerajaan negeri dan terus mencari jalan untuk memberi kesan buruk pada pimpinan Datuk Seri Azizan yang dikatakan bergolak," katanya.

Tiada ulasan: