Khamis, 8 April 2010

Sokongan Padu Komuniti India Hulu Selangor Kepada Pakatan Rakyat

Oleh Norasikin Samsi


SHAH ALAM- Masyarakat India di Hulu Selangor berdiri teguh di belakang Pakatan Rakyat serta berusaha keras untuk memastikan kemenangan besar calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil 25 April depan.

Sehubungan itu lebih 800 masyarakat India tempatan mengadakan pertermuan semalam dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar bersama 40 ketua komuniti masyarakat India yang baru dilantik kerajaan negeri

Selangor bagi membincangkan gerak kerja dan pembahagian tugas untuk PRK Hulu Selangor.

Perjumpaan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Hulu Selangor yang bermula pada termasuk Naib Presiden KEADILAN, Sivarasa Rasiah dan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam serta kira-kira 200 rakyat kaum India dari beberapa Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Timbalan Pengerusi KEADILAN Pahang Ram Ponusamy yang turut hadir berkata, perjumpaan yang diadakan julung kali di kawasan itu adalah sebagai titik permulaan gerak kerja masyarakat India Pakatan Rakyat bagi membantu kemenangan di dalam PRK 25 April ini.

"Mulai esok kita akan mula turun padang secara berperingkat dan akan berkampung sebaik kempen bermula bagi membantu kelancaran dan persediaan jentera parti mengendalikan semua persiapan sepertimana yang telah ditugaskan dalam mesyuarat malam tadi," kata Ram.

Menurut beliau, pecahan jentera pilihan raya terbabit dibahagi kepada tiga Dewan Undangan Negeri Hulu Selangor iaitu di Batang Kali, Hulu Bernam dan Kuala Kubu Baharu.

"Pimpinan tertinggi parti telah memutuskan pembahagian tugas ini ditetapkan kepada tiga Dun terbabit," ujar beliau lagi.

Ditanya mengenai sokongan komuniti India kepada calon yang akan diumumkan 13 April ini, Ram berkata seluruh penyokong KEADILAN memberikan sokongan penuh dan ia amat memberangsangkan.

"Tidak kira siapa yang diputuskan sebagai calon, kami akan menghormati keputusan dan memberi sokongan padu ke atas beliau dan parti untuk mempertahankan kerusi Hulu Selangor," katanya.

Tambah beliau, kesemua ketua komuniti terbabit akan menerima watikah masing-masing secara rasmi hari ini.


Tiada ulasan: