Jumaat, 9 April 2010

Skim bantuan artis dikaji semula

PUTRAJAYA – Berikutan banyak cerita negatif membabitkan artis tempatan termasuk terlibat dalam jenayah, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hari ini mengumumkan pihaknya akan membuat penilaian semula terhadap Skim Tabung Kebajikan Artis.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, skim yang diperuntukkan dana RM3 juta untuk membantu warga seni itu selepas ini akan merujuk kepada rekod latar belakang seseorang artis sebelum bantuan disalurkan kepada mereka.

Beliau yang khuatir dengan paparan banyak laporan membabitkan artis antaranya terbabit dalam keganasan rumahtangga dan jenayah akhir-akhir ini menegaskan, artis atau ikon terkenal kelihatan tidak menganggap soal menjaga sahsiah dan imej sebagai tanggungjawab profesional kepada masyarakat.

‘‘Banyak pihak terutama pengamal dari lapangan ini (hiburan tanah air) menganggap perkara itu tidak penting tetapi bagi saya ia amat penting kerana apabila kita sudah menjadi ikon seni, maka jatuh maruah kita akibat perlakuan sesuatu jenayah.

‘‘Oleh itu kita lihat semula bantuan skim ini dan tidak bolehlah seperti sebelum ini. Ia supaya industri seni kita tidak tercabul imejnya hanya disebabkan perlakuan segelintir artis yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Skim berkenaan diwujudkan tahun lalu atas inisiatif kementerian Rais bagi membantu golongan karyawan seni tanah air seperti penyanyi, pelakon, pelawak, pemuzik serta penulis lirik yang kurang bernasib baik terutamanya kalangan artis-artis veteran.

Kebelakangan ini beberapa laporan negatif membabitkan artis-artis tempatan menggegarkan dunia hiburan tanah air sehingga mengundang tanggapan negatif masyarakat.

Antaranya penahanan pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah Pencegahan Khas) 1985, dipercayai mempelajari teknik membuat syabu menerusi Internet sejak enam bulan lalu.

Ia disusuli dengan dakwaan mahkamah terhadap pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya bulan lalu.

Terbaru, penyanyi kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail direman tiga hari mulai semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengugut bekas isterinya.

Tiada ulasan: