Jumaat, 23 April 2010

Sibu: Calon BN sudah dikenal pasti

BERNAMA



Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah mengenal pasti calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei depan, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Abdul Taib yang juga Pengerusi BN negeri berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan nama calon BN itu yang semestinya daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

"Nama calon kita sudah ada, saya akan umum bila calon sudah sedia, saya akan bincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak)," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen menanam 26 juta pokok peringkat negeri Sarawak di Komplek Dewan Undangan Negeri Baru di Petra Jaya di Kucing hari ini.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April lalu akibat barah hati.

Pada pilihan raya umum lalu, Lau mengekalkan kerusi Parlimen Sibu dengan majoriti 3,235 undi dalam pertandingan tiga penjuru dengan Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dan Lim Chin Chuang (PKR).

Mengenai kempen menanam pokok, Abdul Taib berkata Sarawak mensasarkan untuk menanam 2.6 juta pokok pelbagai spesis mengikut kesesuaian tempat.

Katanya, sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk membuat kajian benih pokok tropika yang sesuai untuk ditanam.

"DBKU dengan kerjasama pakar daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Majlis Perbandaran Padawan akan membuat satu kajian benih pokok yang sesuai ditanam mengikut tempat sama ada untuk kawasan bandar mahupun luar bandar," katanya.


Tiada ulasan: