Rabu, 21 April 2010

Serang Peribadi Sebab Umno Takut Kepada Zaid

Oleh Sidiqin Omar


KUALA KUBU BAHARU - Calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim merupakan sosok yang paling sesuai untuk dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor kerana sikapnya yang jujur dan jiwanya yang patriotik dan bersifat Malaysia.

Serangan terhadap peribadi beliau membuktikan bahawa Umno-Barisan Nasional telah ketandusan hujah dan bankrap idea dalam usaha mereka untuk menawan Parlimen Hulu Selangor.

Demikian kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Ceramah Perdana di Pangsapuri Sri Tanjung, Bukit Sentosa malam tadi.

"Sekurang-kurangnya beliau jujur, ikhlas dan berterus terang dengan pengalaman silam beliau. Sebagai manusia biasa, kita tentulah melakukan kesilapan."

"Dan saya yakin Datuk Zaid akan menjadi seorang Muslim yang lebih baik, terutamanya apabila beliau menyertai kita di dalam Pakatan Rakyat"

Ceramah yang dihadiri oleh lebih 3,000 ribu orang itu turut membariskan pemimpin utama dalam Pakatan Rakyat, diantaranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau mengajak rakyat Malaysia khususnya pengundi di Hulu Selangor untuk menghukum Umno-BN di atas dosa yang telah mereka lakukan.

"Tanggungjawab utama bagi umat Islam antara lain adalah, untuk meilih pemimpin yang baik.

"Kalau kita silap pilih pemimpin, bermakna kita meletakkan nasib dan masa depan anak-anak kita dalam bahaya" tambah beliau.

Melengkapkan program Ceramah Perdana malam tadi ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang menyelar sikap hipokrit pemimpin Umno-BN terutamanya apabila berhadapan dengan isu moral.

"Saya berani katakan, sekiranya kita ingin membersihkan Umno-BN dari pimpinan yang korup dan bermoral rendah, kemungkinan kita akan kehilangan separuh dari barisan Menteri Kabinet", seloroh beliau.

Beliau optimis dengan kemenangan Pakatan Rakyat di Hulu Selangor yang akan menjadi cerminan kepada keputusan pilihan raya kecil di Sibu kelak.

Tiada ulasan: