Jumaat, 9 April 2010

SELESAIKAN MASALAH AIR KOTOR DI KEMABONG

Oleh: MAIL MATHEW


PENGURUSAN Jabatan Bekalan Air di Tenom, digesa agar mencari jalan penyelesaian secara serius termasuk mengundang pakar teknikal pemprosesan bekalan air bersih untuk menangani masalah air keroh dan kotor yang telah dideritai para pengguna air di kawasan Kemabong sejak bertahun tahun lamanya.

Rungutan tersebut diluahkan jurucakap penduduk, Peter Bin Lonok @ Phillip 45, yang kesal terhadap masalah tersebut yang sehingga sekarang tidak pernah ada penghujungnya.

Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) kawasan Tenom berkata demikian ketika memberitahu Sabahkini.net dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

“Kita sudah bosan dengan penjelasan pengurusan jabatan terbabit yang saya ibaratkan seolah olah tiada penghujungnya kerana selepas itu masalah terus berlarutan,” tegas Lonok.

Menurut Lonok, beliau kerap menerima aduan dan rungutan para pengguna di sini berhubung masalah tersebut dan segala-galanya telahpun disampaikan kepada pihak terbabit namun tindakan konkrit oleh jabatan terbabit terhadap aduan itu tidak kelihatan dilakukan.

“Kita khuatir jika dibiarkan keadaan sedemikian berterusan, ia akan mengundang pelbagai masalah lain termasuklah jangkitan kuman bakteria yang boleh menghasilkan penyakit kronik seperti TB (Tabercluosis), batu karang dan lain-lain,” tambah Lonok lagi.

Sementara itu, Jurutera daerah Jabatan Air di sini tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut kerana beliau difahamkan mempunyai tugasan rasmi di luar kawasan.

Bagaimanapun kakitangan pengurusan jabatan tersebut menjelaskan bahawa masalah yang ditimbulkan penduduk sudah disedari malah ia sedang dalam perhatian atasan untuk tindakan seterusnya.

Namun tambah kakitangan itu, masalah bekalan air keruh dalam beberapa minggu kebelakangan ini banyak berkisar atas faktor banjir dan selain itu banyak disebabkan oleh kekerapan gangguan bekalan elektrik terputus yang menggendalakan proses rawatan air.

Dalam pada itu, para pengguna tidak perlu bimbang kerana bekalan air hanya akan diedar kepada para pengguna selepas air itu dirawat dan bebas daripada kuman bakteria.

Tiada ulasan: